03 July 2025

INTEAM HARUMKAN NAMA MALAYSIA - WAKILI NEGARA DALAM FESTIVAL NASYID ANTARABANGSA DI ALGERIA



"Kami sangat terharu dan bersyukur kerana ini kali pertama kami menjejakkan kaki ke Algeria dan mendapat sambutan luar biasa di sana. Walaupun kami dan penonton datang dari latar budaya dan bahasa berbeza, namun nasyid menjadi jambatan yang menyatukan hati-hati kami."
Demikian tutur anggota Inteam iaitu Syah dimana kumpulan nasyid popular tanah air itu mengharumkan nama Malaysia apabila diberi penghormatan mewakili negara dalam Festival Nasyid Antarabangsa (Mahrajan Al-Insyad Al-Duwali) di Constantine, Algeria, baru-baru ini.

Berhubung itu, Syah menyifatkan penyertaan mereka di Algeria sebagai pengalaman yang sangat bermakna dan suk@r dilupakan.

Menerusi jemputan rasmi daripada Kementerian Kebudayaan dan Ketua Pemerintah Wilayah Constantine, penyertaan itu menjadi penampilan sulung Inteam di negara itu, sekali gus mencatat sejarah baharu dalam karier seni dakwah mereka yang kini menjangkau dua dekad.

Persembahan kumpulan itu lebih menyentuh jiwa apabila mereka membawakan lagu-lagu popular seperti 'Dia Muhammad', 'Taybah', 'Setanggi Syurga', 'Solatullah', 'Ya Hanana' dan 'Qamarun', yang mengangkat mesej cinta dan ketuhanan.

Festival berprestij itu menghimpunkan artis nasyid dari pelbagai negara dan menampilkan kepelbagaian gaya persembahan serta warisan budaya Islam dari seluruh dunia yang diraikan dalam suasana penuh harmoni.

Sementara itu, seorang lagi anggota Inteam, Amin berkata, mereka turut mengambil peluang memperkenalkan busana tradisional Melayu di pentas antarabangsa, sekali gus menarik perhatian ramai terhadap keunikan dan kehalusan seni pakaian warisan.

"Kami memang berniat untuk mengetengahkan elemen budaya Malaysia dengan mengenakan busana Melayu di atas pentas dan tidak sangka ramai yang tertarik dan datang bertanya tentang pakaian kami selepas persembahan. Ini satu peluang dakwah dan diplomasi budaya yang sangat indah," katanya.

Turut menyerikan persembahan ialah penyanyi Syria yang kini menetap di Malaysia, Sheikh Sayed Arshid dan Johan Qari Antarabangsa 2024, Ustaz Husaini Mahmur, yang tampil menggantikan Hisyam, sal@h seorang anggota Inteam yang tidak dapat turut serta kerana komitmen kerja di tanah air.

Berpeluang berkongsi pentas dengan artis nasyid dari pelbagai negara, Inteam menyatakan rasa syukur dan bertuah serta menganggap ia sebagai satu penghormatan besar bagi kumpulan mereka.

"Alhamdulillah, kami rasa sangat bertuah dapat berkongsi pentas dengan artis nasyid dari pelbagai negara. Apatah lagi dapat berduet dengan Sheikh Sayed Arshid kerana ia satu penghormatan besar buat kami," ujarnya.

Penyertaan Inteam di festival berkenaan dijangka membuka lebih banyak ruang untuk kolaborasi serta persembahan di peringkat antarabangsa, selain memperkukuhkan seni dakwah sebagai platform penyatuan masyarakat Islam melalui irama dan lirik yang menyentuh jiwa.

         ________________________

JOM LAWAT YOUTUBE KAMI (MYPAPARAZZI) :
KLIK DI SINI..!!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.