"Saya mohon maaf tidak dapat beritahu tarikh tepat untuk majlis pernikahan kami atas sebab tertentu. Setakat ini, semua persiapan untuk majlis pernikahan kami juga berjalan lancar.
"Saya mohon doa dari semua terutama peminat agar majlis pernikahan kami nanti dipermudahkan, Insya-Allah."
Itulah jelas pelakon Eyka Farhana, 30, yang mengesahkan, dia bakal melangsungkan pernikahan dengan jejaka pilihannya, pemain bola sepak Terengganu FC (TFC) iaitu Akhyar Rashid, awal bulan depan.
Kata Eyka atau nama sebenarnya, Wan Atiqa Farhana Wan Sarmizi, majlis pernikahan mereka bakal berlangsung dalam majlis yang sederhana di sebuah lokasi di Kuala Lumpur dengan dihadiri ahli keluarga terdekat dan teman rapat.
Ditanya perasaan yang bakal bergelar isteri tidak lama lagi, Eyka yang sudah mengikat tali pertunangan dengan Akhyar pada 4 Ogos tahun lalu itu mengakui berdebar, selain juga sudah bersedia untuk melangkah ke alam perkahwinan.
"Pastinya saya juga berdebar dan teruja untuk menanti detik diijabkabulkan sebagai isteri nanti. Apapun, kami sudah lama berkawan dan percaya sudah sampai seru untuk saya berumah tangga," tuturnya.
Terdahulu, video Eyka diraikan dalam parti bujang dengan memakai selempang yang tertulis 'bride to be' yang dimuat naik rakan artis, menarik perhatian ramai di media sosial.
Acara parti bujang yang diadakan di sebuah restoran di Kuala Lumpur, sebelum ini, turut dihadiri rakan-rakan artis yang juga teman rapatnya seperti Mimi Lana, Azira Shafinaz, Yaya Zahir dan Amelia Henderson.
________________________
JOM LAWAT YOUTUBE KAMI (MYPAPARAZZI) :
KLIK DI SINI..!!

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.