"Kalau dia (arwah Cik Man) jumpa orang, bukan sekadar bertegur sapa. Dia akan tinggalkan kesan kepada orang itu. Sebab itu apabila saya baca komen-komen di media sosial, ramai yang benar-benar terasa dengan pemergiannya.
"Arwah pernah bersekolah bersama arwah bapa saya, Azmi. Sejak dulu, arwah memang dikenali sebagai seorang yang gemar berjenaka dan sering mencuit hati orang sekeliling.
"Walaupun sekadar berbual atau melepak bersama rakan-rakan, dia tetap mampu menceriakan suasana dengan lawak spontannya."
Itulah kongsi pelawak Amir Raja Lawak, 37, di mana katanya, setiap kali bertemu Allahyarham Kamarool Yusoff, 68, ianya pasti meninggalkan kesan mendalam kepada sesiapa sahaja yang mengenali pelakon veteran itu.
Pemergian Kamarool Yusoff atau lebih dikenali sebagai Cik Man, disifatkan sebagai kehilangan besar kepada industri seni tanah air kerana arwah bukan sekadar menghiburkan masyarakat, malah sering menyampaikan mesej dakwah menerusi karya dan telatahnya.
Dalam pada itu, Amir atau nama sebenarnya, Mohammad Amirullah Azmi, berkata, di sebalik sifat hum0r yang dimiliki, arwah sebenarnya seorang yang bijak apabila menyelitkan nasihat dan mesej bermakna dalam setiap karya serta percakapannya.
"Orang mungkin hanya nampak lawaknya, tetapi kalau diperhatikan betul-betul, setiap kata-kata dan puisi yang disampaikan mempunyai maksud yang lebih mendalam serta penuh kiasan.
"Arwah bukan sekadar melawak, sebaliknya menggunakan bakatnya untuk berdakwah dan mengingatkan orang ramai mengenai kehidupan serta akhirat," tuturnya ketika ditemui di kediaman arwah Cik Man di Kampung Gual Ipoh, di sini, hari ini.
Klik untuk gambar besar
"Antara yang masih saya ingat, dia pernah menyebut, 'kita jumpa di syurga'. Dia juga banyak bercakap mengenai kiamat. Bagi saya, itu bukan sekadar gurauan, tetapi cara dia mengajak orang mengingati Allah dan kehidupan selepas m@ti.
"Arwah juga seorang yang genius kerana di sebalik karya serta lawaknya, ada unsur dakwah yang sangat kuat. Itulah yang menjadikan dirinya berbeza daripada pelawak lain," ujarnya.
Selain itu, Amir berkongsi, arwah juga sangat menghormati guru-guru dan individu yang banyak membimbingnya dalam bidang seni.
"Dia selalu menyebut nama guru-gurunya seperti Meor Hashim Manap dan Nasir Jani. Arwah sentiasa memberikan penghargaan kepada mereka yang membentuk perjalanan seninya.
"Itu antara sifat yang saya paling kagum dengannya. Walaupun sudah dikenali ramai, dia tidak pernah lupa asal-usul dan orang yang banyak membantunya," katanya.
Disamping itu, Amir berkata, kehilangan Cik Man bukan sahaja dirasai keluarga dan rakan-rakan artis, malah seluruh rakyat Malaysia yang mengikuti perjalanan seni Allahyarham sejak sekian lama.
"Bagi saya, ini kehilangan yang sangat besar. Ramai akan merindui lawaknya, tetapi lebih penting, kita akan merindui insan yang sentiasa menyampaikan kebaikan dan dakwah melalui cara yang cukup halus," tuturnya.
________________________
JOM LAWAT YOUTUBE KAMI (MYPAPARAZZI) :
KLIK DI SINI..!!


No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.