15 October 2011

EKSKLUSIF: 29 GAMBAR NOSTALGIA TOMOK


BIODATA:
Nama: Shah Indrawan Ismail
Nama Samaran: Shah (Tomok)
Tarikh Lahir: 17, Mei 1984
Tempat Lahir: Kuala Lumpur
Adik Beradik: 6 Orang
Zodiak: Taurus

10 RAHSIA PERIBADI:

1 - Mula-mula sekali saya nak cerita tentang tabiat makan. Sebenarnya saya ni..nampak saja keding tetapi kuat makan! Dalam sehari saya makan nasi lima kali iaitu, pagi (nasi lemak), tengahari, petang, malam dan tengah malam. Kadang-kadang kalau tak makan nasi saya makan mee atau meehoon. Yang pastinya saya memang jenis kuat makan. Kalau makan nasi tu, lauk yang menjadi kegemaran saya ialah asam pedas dan rebung masak lemak. Apapun saya tidaklah terlalu cerewet, tetapi boleh makan apa saja kecuali yang terlalu pedas. Sebab yang terlalu pedas membuat saya tak berapa tahan kerana perut saya ni manja sikit. Kalau makan juga, maka kenalah keluar masuk tandas tak henti-henti.




2 - Kalau bab buah-buahan pula, saya cukup pantang nampak durian. Bila dah nampak tu, mulalah nak mengecek mak untuk membelinya di pasar malam ataupun di tepi-tepi jalan. Kalau makan pula..memang tak ingat dunia. Percaya tak, saya boleh habiskan 6 biji dalam satu masa. Itulah sebabnya kalau beli durian, keluarga saya pasti beli lebih kerana mereka tahu saya ni hantu durian!

3 - Tentang sikap pula...kalau nak tahu saya agak pemalu dan kurang bercakap. Kadang tu..saya hanya cakap yang penting saja. Sepatah ditanya sepatahlah yang saya jawab. Pun begitu, saya akan lebihkan senyuman...itulah yang membuat ramai terpikat..(gurau saja).

4 - Selain pemalu, saya juga seorang yang 'cool' (tenang) sentiasa. Dalam apa jua permasaalahan yang timbul baik yang ringan mahupun yang berat, pasti saya akan kelihatan releks kerana memang itulah peribadi saya.

5 - Kalau nak tahu saya ada penyakit darah gemuruh yang boleh menimpa bila-bila masa setelah bergelar artis ni. Selalunya, ia menyerang ketika saya nak mengadakan 'show'. Yang peliknya, bila berada sahaja di atas pentas, gemuruh tu hilang dengan pantas. Selalunya, ia datang cuma sejam sebelum memulakan persembahan. Tetapi disebabkan muka saya ni..jenis selamba saja sebab itulah mungkin ramai yang tak tahu perasaan saya tu.

6 - Dalam bab berpakaian pula, saya ni..suka pakai yang longgar dan selesa dengan badan. Paling saya tak suka ialah pakaian yang mengikut saiz ataupun menampakkan bentuk badan.

7 - Kalau keluar atau ke mana saja, saya lebih selesa memakai topi. Sebabnya, saya rasa kemas dan bergaya. Lagipun tak perlulah saya bersusah payah nak mendandan rambut. Kan lebih selesa begitu! Cerita bab bertopi ni..pula, kalau nak tahu saya mempunyai banyak koleksi topi iaitu lebih 30 jenis. Yang istimewanya, separuh daripada koleksi tersebut tertera huruf 'S' (Shah).

8 - Satu lagi hobi baru saya ialah menyimpan koleksi rantai, gelang dan cincin pemberian peminat. Setakat ini, saya mempunyai tiga peti (sederhana) yang disimpan dalam almari hiasan. Kebanyakkannya ada tertera nama saya 'Shah' atau 'Tomok'.

9 - Tabiat yang paling teruk dalam diri saya ialah kuat tidur. Kalau dah mula tidur, memang payah nak bangun. Sebab itulah kalau tengah tidur, saya cukup pantang diganggu. Kalau ke sekolah pula, puas ibu kejutkan beberapa kali, barulah terjaga. Kalau tidak, alamatnya sampai ke sianglah.

10 - Dalam persahabatan pula, saya tidak suka berkawan dengan orang yang suka memandang rendah pada orang lain atau jenis yang suka makan kawan. Sebenarnya, saya ni jenis simple dan senang didampingi. Tapi, kalau ada yang berniat tak baik dan ingin mengambil kesempatan, rasanya tak berkawan dengan dia sekalipun saya tidak menyesal.


TAK SERIK KENA BELASAH

Menyelami nostalgia Tomok pasti ramai yang berpendapat bahawa sikap Tomok mungkin sama dengan sikapnya kini yang pemalu dan pendiam. Jika itu tekaan anda, sudah pastinya anda silap kerana Tomok satu ketika dahulu agak hyperaktif dan sering kena rotan disebabkan kenakalannya.

Semuanya berpunca dari sikap degilnya yang tidak mahu mendengar nasihat keluarga terutama pesanan ibunya. Pantang dia dilarang keluar rumah, pasti jiwanya akan memberontak hingga timbul masalah akibat sikap acuh tak acuhnya itu.

"Sikap degil saya tu terbawa-bawa hingga ke zaman persekolahan. Entah kenapa, saya tetap tidak mahu berubah dan asyik ingat nak keluar bermain dengan rakan-rakan sahaja," ujarnya.

Tambah anak keempat dari enam beradik itu, bila keluar bermain selalunya bila dah senja baru dia pulang ke rumah. Apa lagi, selalunya bapanya akan menunggu memegang rotan atau penyangkut plastik dan kemudian menghukumnya dengan teruk sekali.

"Bila dah degil tu, faham-faham ajalah. Selain birat kena rotan, saya juga mempunyai banyak parut luka di tubuh. Hairannya, bila satu calar atau luka tu dah sembuh, dapat pula calar atau luka yang lain hingga membuat saya tak henti di landa kecederaan," ceritanya lagi.

Dan salah satu kecederaan teruk yang pernah dialaminya ialah terkoyak peha kiri hingga tidak upaya berjalan selama sebulan. Kata Tomok, semuanya berlaku gara-gara dia dikurung dalam rumah saudaranya ketika bercuti. Akibat ingin bebas keluar, dia mengambil keputusan untuk memanjat pagar yang berbucu tajam.

"Ingatkan semuanya okey. Tetapi bila kaki kiri saya tersangkut pada bucu tajam tu, dengan pantas ia koyak agak besar manakala darah membuak macam air paip. Dalam kesakitan itu, nasib baik mak tak marah dan dengan pantas menghantar saya ke hospital.

"Selepas menerima rawatan, rasanya lama juga saya kena berehat. Yang kelakarnya, sebaik sahaja kecederaan saya itu sembuh, aktiviti panjat memanjat dan pelbagai aktiviti lasak kembali saya lakukan hingga terlupa apa yang pernah saya lalui sebelum ini," ujarnya.

Klik untuk imej besar...


All photo copyright: myartis.com

No comments: