20 October 2011

SEJARAH HIBURAN MALAYSIA - KUMPULAN METALASIA


KUMPULAN MUZIK MALAYSIA PERTAMA TERJUN HELIKOPTER

"Jangan rampas parachute kami..," begitulah luahan kumpulan Metalasia dalam usaha memerangi gejala cetak rompak yang semakin berleluasa. Kata mereka, sekiranya tindakan drastik tidak diambil mulai sekarang... dibimbangi industri hiburan tanahair akan musnah hingga menyebabkan insan seni merempat di negara sendiri.


"Sudah lama kita berbahas tentang cara membenteras lanun cetak rompak. Malangnya, cetak rompak masih berleluasa dan semakin berani menonjolkan diri walaupun pelbagai usaha telah dilakukan.

"Taukeh cetak rompak semakin kaya, industri muzik semakin parah dan yang paling sedih, penggubah lagu, penulis lirik, penyusun muzik, pemuzik dan artis rakaman yang bertungkus-lumus, bersengkang mata tanpa mengira waktu, dengan tekun mengorbankan waktu di studio untuk menyiapkan album mereka, dicuri dan disamun hasil titik peluh kerja mereka oleh di lanun cetak rompak. Kami rasa terpanggil untuk tampil dengan tindakan yang agresif untuk menarik perhatian semua tentang ancaman cetak rompak ini," ujar King Shah, pemain gitar dan keyboard Metalasia.


Seterusnya, Metalasia yang dianggotai lima anak muda telah menjadi kumpulan muzik Malaysia yang pertama terjun dari paras 5,000 kaki menggunakan payung terjun pada 13 April 2002 di Terminal 2, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor sebagai usaha menunjukkan pada orang ramai bahawa kemusnahan industri muzik semakin parah gara-gara cetak rompak.

Metalasia, sebuah kumpulan progresif rock yang ditubuhkan pada tahun 1997 dianggotai oleh King Shah, Ritz, Sam Maya, Muix dan Trabye. Mereka telah melahirkan album pertama berjudul 'Khalifah Alam Maya' pada 1999, album 'Live - Metalasia: Live at Metal Wars' (2000) dan terbaru pada 2002 berjudul Silantara... Bermulanya Sebuah Epik.

Photo & story copyright myartis.com
:: Artikel ini telah disiarkan di myartis pada Jun 2002 ::

No comments: