23 January 2012

PUNYAI ANAK USIA 8 TAHUN, APA MOTIF EREMA?


Jika masa Allahyarham Sri Bayu (Jamaludin Sulik) masih hidup, kemelut rumahtangga dengan penyanyi Erema atau nama sebenarnya Dayang Zaira Erema Awang Moshdad penuh dengan duka dan airmata.

Kini setelah hampir setahun bekas penulis lirik dan komposer itu meninggal, tiba-tiba kita dikejutkan pula dengan pengakuan Erema bahawa dia dan arwah sebenarnya mempunyai seorang anak berusia lapan tahun. Anak tersebut yang bernama Nur Irsya Amyra dakwa Erema terpaksa dirahsiakan kehadirannya atas permintaan Arwah sendiri atas sebab-sebab tertentu,

Saat bahagia Erema & Arwah Sri Bayu...




Anak yang didakwa milik Arwah Sri Bayu...


“Saya minta maaf, tidak terlintas di fikiran mahu membohongi sesiapa, tapi saya terpaksa akur dengan permintaan arwah Seri Bayu. Amyra menjadi kekuatan jiwa saya yang terlalu merana dan tersiksa dengan konflik rumah tangga. Kehidupan saya tanpa arwah Seri Bayu, tetapi nadi saya terus berdenyut kerana Amyra.

“Amyra tinggal bersama ibu saya di Kuching sejak dulu lagi. Diakui memang pernah timbul gosip mengatakan saya sudah mempunyai cahaya mata dulu, bagaimanapun saya tidak pernah mengiya dan menidakkannya.

“Di kalangan teman-teman mahupun wartawan yang rapat, saya tidak pernah berselindung malah ada antaranya sudah menemui Amyra. Mereka menghormati permintaan arwah Seri Bayu dan menyimpan rahsia sehingga saya bersedia mendedahkannya. Tidak guna saya terus berselindung dan bermain teka teki, lambat laun orang luar akan tahu dan terus menuduh saya sebagai penipu. Dulu, terbit juga rasa bersalah tetapi saya tidak boleh berbuat apa-apa kerana arwah tidak mahu saya mendedahkan kisah anak.

“Amyra rapat dengan arwah Seri Bayu. Walaupun Amyra berjauhan dengan arwah, mereka tidak pernah terputus hubungan. Mereka sentiasa berhubung dengan khidmat pesanan ringkas (SMS) kerana di penghujung hayat, arwah tidak mampu lagi bertutur. Saya sedih tidak dapat menemukan Amyra dengan Arwah bapanya sebelum meninggal dunia," dakwa Erema dipetik sebagai berkata.

Tambahnya, dia juga terkilan kerana permintaan arwah yang terakhir iaitu mahu menemui Amyra sebelum menghembuskan nafas terakhir tidak kesampaian. Malang sekali dakwanya ketika itu dia jatuh muflis dan tidak berduit untuk menemukan Arwah dengan anaknya.

“Dalam tangan saya ketika itu hanya ada RM50. Saya tidak dapat membawa Amyra bertemu arwah kali terakhir ketika terlantar sakit di Hospital Port Dickson.

“Alhamdullilah, selepas dua tahun bekerja siang malam, akhirnya saya dapat membayar semua tunggakan dan nama saya tidak disenarai hitam lagi. Walaupun banyak hutang yang ditinggalkan arwah, saya tidak berdendam dan sudah memaafkannya. Apa yang termampu, saya akan cuba selesaikan. Disebabkan itulah, saya terpaksa bekerja keras untuk membayar hutang dan menanggung sara hidup anak.

“Saya tidak berdendam. Jika berdendam dan menyimpan perasaan amarah, saya tidak akan muncul pada hari pengebumiannya. Malah, saya sudah dua kali membawa Amyra menjenguk pusara bapanya di Port Dickson. Jika ada kelapangan, saya juga akan menjenguk pusara arwah bersendirian,” katanya ketika ditemubual oleh media baru-baru ini.

Namun bukan soal kesusahan atau derita Erema yang hangat kembali di laman-laman sembang ketika ini, tetapi soal motif Erema membuat pendedahan terbarunya itu. Soal segelintir pihak, mengapa setelah Arwah meninggal sekian lama baru Erema mahu membuat pendedahan dan mengapa hingga kini tidak habis-habis Erema mahu memburukkan Arwah suaminya?

"Apa ke bengapnye minah ni... sedap la kau baham arwah mentang-mentang dia dah takda... semua benda buruk arwah nak dicanangnya.. apa kau ingat dengan cerita-cerita busuk kau ni, single baru kau tu nak laku?" komen seorang forumer di laman sembang Cari meluahkan perasaannya.

"Aku menyampah betul kalau ayat konon-konon memaafkan tapi dalam masa sama dok mengata lagi.. jenis aku kalau nak kata takda nak puji-puji atau dok buat ayat konon suci.. nak kata kata sungguh.. kalau tidak tutup mulut lagi baik," komen seorang lagi forumer.

"Nasib baik kau tak bercerai dulu.. kalau tak mana nak merasa royalti, kan? Tak tau bersyukur. Masih kemurungan ke Erema..? Apakah beza mendedahkan identiti anak tu kalau masih suruh mak kat kampung yang jaga?" Ujar yang lain pula.

Kesimpulannya, pendedahan Erema itu bagaikan menyiram minyak ke dalam api atau dalam kata pepatahnya 'nasi sudah menjadi bubur'. Walau apapun niat Erema, kemungkinan ramai yang sudah tidak percaya dengan 'kisah benar' itu kerana sejarah silam telah banyak menyedihkan mereka.

Tambahkan pula setelah sekian lama ketiadaan Arwah Sri Bayu baru cerita ini diluahkan, pastinya ramai yang menuduh Erema mempunyai agenda tersendiri atau lebih tepatnya 'ada udang di sebalik batu'.

Bagaimanapun, sebagai seorang Islam... kita harus bersangka baik terhadap sesuatu perkara kerana ia adalah di luar pengetahuan kita sendiri. Biar apapun kemelut yang berlaku antara Arwah dan Erema, yang penting sekarang ialah masa depan anak tidak berdosa yang didakwa milik Sri Bayu itu.

Bak kata orang, buang yang keruh... ambilah yang jernih!

No comments: