28 July 2012

RIZAL AF5 BERLAKON KERANA NYANYIAN LEMBAB


Rizal AF5, atau nama sebenarnya Hasfarizal Ayub, 25, tanpa berselindung mengakui bahawa bidang nyanyian agak suram kerana terlalu banyak saingan. Sehubungan itu, dia kini menjadikan karier lakonan sebagai 'pembantu' untuk survived dalam bidang seni yang diminatinya itu.

"Mungkin sekarang bukan rezeki saya untuk menyinar sebagai penyanyi tambahan pula trend muzik sekarang berbeza namun keinginan untuk kembali ke pentas tidak pernah pudar.





"Alhamdulillah tawaran berlakon pula semakin banyak dan saya mengambil peluang dan rezeki ini sebagai ruang untuk memperbaiki diri selain mempelbagaikan cabang karier saya sebagai artis," katanya ketika ditemui media.

Namun begitu, Rizal menyatakan yang dia masih ada menerima tawaran menyanyi. Bagaimanapun, beliau sedikit kecewa apabila lagu-lagunya jarang berkumandang di stesen radio tempatan hingga memaksanya mencari kaedah lain mempromosikan lagu berkenaan.



"Nasib baik juga ada yang mahukan lagu saya dijadikan sebagai lagu tema drama-drama dan cara itu boleh menarik perhatian penonton yang mendengar lagu itu.

"Malah single saya yang berjudul Suatu Ketika Dulu yang menjadi lagu latar drama bersiri Kekasihku Puyu di TV3 mendapat perhatian penonton sehingga ada yang bertanyakan adakah benar saya yang menyanyikan lagu itu," ujarnya dipetik sebagai berkata.

No comments: