09 August 2012

INGATAN LEMAH - JINS SHAMSUDDIN TAK KENALI RAKAN


Daya ingatan makin lemah hingga tidak mengenali rakan-rakan!

Begitulah keadaan pelakon veteran Tan Sri Jins Shamsuddin ketika menerima kunjungan Presiden Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim), Jurey Latiff Rosli, Pengerusi Papita, Datuk M. Daud Wahid, penggiat seni hiburan Ong Peng Chu, Presiden Profima, Khir Mohd Noor dan beberapa ahli jawatankuasa Gafim semalam.




Menurut Jurey, dari segi fizikal pelakon veteran itu sangat cergas dan tidak mempunyai masalah kesihatan, namun ingatannya semakin lemah dan beliau sukar mengingati orang di sekeliling. Bagaimanapun, memori Jins mengenai industri perfileman tidak pernah luntur dan masih bersemangat.

"Walaupun sudah tidak ingat beliau tetap melayan kami dengan baik seperti tiada apa-apa yang berlaku," ujarnya kepada media.

Lawatan rakan seperjuangan - klik untuk imej besar...


Apa yang lucu, sepanjang pertemuan itu Jins banyak bercerita mengenai sejarah tentang studio Jalan Ampas, peranannya dalam penubuhan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan Gafim.

"Hairannya beliau masih mengingati dengan jelas mengenai kisah lampau beliau sebagai pelakon serta mampu berkongsi dengan kami semua kisahnya dengan baik.

"Sekarang ni memang beliau hanya duduk di rumah dan berehat namun keinginannya untuk kembali bekerja dan berkhidmat kepada negara masih tinggi," cerita Jurey.

Baru-baru ini, isteri Jins, Puan Sri Halijah Abdullah, 52, turut mengakui suaminya sudah menamatkan perkhidmatannya sebagai Ahli Dewan Negara pada awal tahun lalu kerana masalah kesihatan.

"Walaupun begitu, kesihatan Jins masih lagi seperti biasa. Beliau tidak mempunyai penyakit yang kronik seperti kencing manis, darah tinggi atau sakit jantung," ujarnya dipetik sebagai berkata.

No comments: