05 February 2013

TIKET KONSERT ANUAR ZAIN HAMPIR SOLD OUT


Harga tikel mahal bukanlah faktor kegagalan, tetapi ia sebenarnya satu ujian kesetiaan peminat untuk menyaksikan konsert terhebat yang diadakan. Faktor tersebut terbukti benar apabila tiket konsert Anuar Zain Tiga Dekad Muzik, Cinta dan Sanubari... yang berharga RM88 sehingga RM698 hangat dan laris terjual.

Ia disahkan sendiri oleh penyanyi tersebut yang memberitahu sejumlah 80 peratus tiket konsertnya yang bakal diadakan pada 16 Februari itu telah dijual. Tambahnya, tiket-tiket telah dapat dijual dengan cepat dan masih berbaki 20 peratus. Malah ada juga pembeli yang membeli tiket itu dari Brazil, Indonesia, Brunei dan Singapura.

Klik untuk imej besar...



"Ia sekali gus telah menaikkan lagi semangat saya untuk beraksi di hadapan peminat pada malam itu nanti," ujar Anuar dalam sidang media di Hotel Concorde, Shah Alam, Selangor semalam.

Dalam sidang media itu juga, Anuar telah mengumumkan pertukaran tapak persembahan yang awalnya di Stadium Putra Bukit Jalil ke lokasi baru iaitu Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor.

"Perubahan tersebut disebabkan masalah logistik memandangkan pada hari berikutnya terdapat sebuah majlis di tempat sama. Oleh yang demikian, mereka menuntut pihak kami untuk mengemas peralatan persembahan dalam tempoh singkat.



"Konsert ini akan dibuat dalam skala yang besar jadi adalah satu perkara yang agak mustahil untuk pihak produksi mengemas lokasi secepat mungkin bagi memberi laluan untuk majlis yang berlangsung pada keesokan harinya.

"Daripada kami menundakan tarikh konsert dan menghampakan semua peminat, pihak kami telah mendapatkan lokasi baru," jelas Anuar.



"Peminat tidak perlu panik kerana pihak pengurusan kami akan memastikan semua pihak yang telah membeli tiket lebih awal akan dimaklumkan mengenai perubahan ini.

"Malah mereka akan membuka kaunter khas pada hari konsert dari pukul 2 petang bagi sebarang urusan pembelian dan pertanyaan tentang penukaran nombor kerusi," ujarnya.

No comments: