12 December 2013

TIADA 'JOB' - MAMA RINA TERPAKSA JUAL 'KAKI' TAMPUNG HIDUP



Bayangkan kehidupan yang awalnya nampak cerah untuk meraih populariti, tetapi akhirnya beransur hilang begitu sahaja. Itulah yang berlaku terhadap bekas pelajar Akademi Fantasia musim ke-6, Hairina Abd Halim, 50, atau lebih dikenali sebagai Mama Rina.

Akibat tidak lagi mendapat undangan nyanyian sejak setahun lalu, dia ibarat terumbang-ambing sedangkan rakan-rakan AF lain ada yang hidup senang lenang. Malah disebabkan kesempitan hidup, dia kemudian terpaksa menjual kereta yang diibaratkan 'kakinya' untuk ke sana sini kerana tidak mampu membayar ansuran bulanan.




"Sekarang ini jika ada apa-apa undangan saya akan menaiki bas dari Johor Baharu ke Kuala Lumpur kerana tidak lagi mempunyai kereta.

"Undangan nyanyian juga tidak serancak dahulu malah sejak setahun lalu saya tidak lagi menerima sebarang tawaran nyanyian," ujarnya dipetik sebagai berkata ketika ditemui di Angkasapuri, Kuala Lumpur, semalam.

Untuk makluman, Mama Rina merupakan seorang ibu tunggal dan peserta paling tua yang kini mempunyai dua cucu menyertai AF-6 pada tahun 2008 ketika usia 45 tahun.

"Istilah berputus asa tidak pernah wujud dalam diri saya biarpun karier nyanyian saya semakin malap. Hampir 30 tahun saya menyanyi dan ia tidak akan dilupakan begitu sahaja.

"Biarpun terpaksa mengharungi pelbagai cabaran tetapi saya tidak akan berputus asa selagi ada peminat," katanya yang akan menyertai pertandingan Bintang Nostalgia 2013, terbitan RTM.

"Saya tidak mengharapkan gelaran juara, namun bersyukur jika Bintang Nostalgia 2013 menjadi milik saya," ujar Mama Rina yang telah layak ke top 6 peringkat akhir pertandingan tersebut.

Juara Bintang Nostalgia 2013 akan membawa pulang hadiah wang tunai RM13,000 manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing diberikan RM9,000 dan RM7,000. Apa yang menarik, sagu hati juga akan menerima wang tunai bernilai RM3,000.

No comments: