17 May 2015

SAYA SEMAKIN PULIH - ZAMANI SLAM



"Dari segi pemulihan dadah, saya semakin sihat. Alhamdulillah tetapisaya sekarang mengalami sakit tulang belakang bengkok. Penyakit itu memang sudah lama saya hidapi, tetapi apa yang penting sekarang minda saya tenang dan lapang... itu yang paling saya bersyukur," demikianlah kata Zamani Slam atau nama sebenarnya Zamani Ibrahim, 44, mengenai perkembangan terkininya dalam satu sidang media yang diadakan baru-baru ini.

Zamani yang telah menjalani pemulihan selama tiga bulan di pusat pemulihan Persatuan Pengasih Malaysia di Jalan Syers berkata beratnya yang sebelum ini 45 kilogram meningkat sebanyak 11 kilogram dan program pemulihan di pusat itu menjadikannya lebih positif dari segi mental dan fizikal.

Menurut Zamani, tempoh dia berada di pusat berkenaan belum diketahui kerana ia bergantung kepada penilaian pihak pengurusan.

Klik gambar untuk size besar




"Perubahan yang paling ketara saya alami sepanjang berada di sini ialah dalaman diri saya iaitu kerohanian di mana saya perlu berjuang melawan diri sendiri (melawan nafsu dadah)... dan saya berazam untuk berubah bagaimanapun saya masih perlu meneruskan rawatan ini," ujarnya dipetik sebagai berkata.

Dalam pada itu, Zamani juga mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakannya termasuk penyanyi Datuk Jamal Abdillah dan vokalis OAG Mohd Radhi Razali yang memberi sokongan moral kepadanya.

Zamani yang mengakui kesilapannya kerana terjebak dalam penyalahgunaan dadah turut memohon maaf kepada peminatnya kerana tindakannya itu mengecewakan mereka.



Dalam sidang media itu, Presiden Pengasih Datuk Mohd Yunus Pathi, Jamal Abdillah, Radhi OAG, abang Zamani iaitu Zulfazil Ibrahim dan peguam kepada Zamani, Ahmad Zaharil Muhaiyar turut hadir bersama.

Sementara itu, Mohd Yunus berkata Zamani menunjukkan perubahan yang memberangsangkan dan pihaknya sedang berusaha untuk membantu beliau pulih sepenuhnya dan kembali kepada masyarakat bagi meneruskan kariernya sebagai penyanyi.

Untuk rekod, Zamani dan pembantu peribadinya, Nur Juliana Abdul Rani, masing-masing didenda RM5,500 atau 18 bulan penjara selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, terhadap pertuduhan memiliki dan mengambil dadah pada 21 Jan lepas.



         ________________________




No comments: