06 August 2015

"BUKAN ORANG KETIGA PUNCA RUMAH TANGGA SAYA GOYAH" - MAYA MATAHARI



"Tidak semua perkara berpunca daripada orang ketiga. Tidak dinafikan pelbagai cerita sampai ke telinga saya, namun saya memilih untuk tidak terlalu mendengar cerita tanpa bukti kukuh," demikianlah kata pelakon serta penyanyi Maya Matahari yang menafikan sekerasnya dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan wujud orang ketiga dalam perkahwinan mereka.

Menurut Maya, dia enggan mendedahkan punca sebenar rumah tangga beliau retak kerana ingin menjaga hati kedua-dua belah pihak keluarga.

Maya menjelaskan beliau dan suaminya, Tengku Shahreza Tengku Aziz kini tidak lagi tinggal sebumbung sejak enam bulan lalu namun masih menjalinkan hubungan baik.

Klik gambar untuk size besar




"Sudah lama saya mengunci mulut dan tidak mengulas lanjut berhubung kontroversi ini. Ya, saya akui saya dan suami sudah lama tidak tinggal sebumbung.

"Malah, kemelut rumah tangga kami sudah berlarutan sekian lama. Saya akui perlu mengambil tindakan lanjut secepat mungkin bagi mengelakkan fitnah.

"Tidak kira apa kesudahannya, saya dan suami masih berhubung secara baik," ujar Maya dipetik sebagai berkata.

Mengulas lanjut, Maya berkata, status perkahwinannya masih lagi tergantung dan belum mempunyai kata putus. Namun dia mengakui tidak mahu terlalu memikirkan masalah hal rumah tangga dan ingin lebih fokus kepada kerjaya seninya.

"Umur pun hampir mencecah 40 tahun, jadi saya rasa banyak benda yang saya belajar dan ambil yang positif saja. Saya menganggap setiap perkara yang berlaku ada hikmahnya dan menjadikan saya seorang yang sangat tabah.

"Selain kerjaya, saya juga memberi fokus kepada ibu saya yang diserang sakit jantung. Saya dan adik beradik lain mengambil giliran menjaga ibu saya. Disamping itu, saya juga mempunyai jadual kerja yang padat," jelasnya.

Sumber: BH



         ________________________




No comments: