28 January 2016

SEJAK BERHIJAB - MIA SARA KURANG DAPAT TAWARAN BERLAKON



"Tawaran lakonan semakin kurang dan saya faham mengapa saya tidak diambil berlakon," demikian kata Mia Sara Nasuha, 11, mengenai dirinya yang kurang mendapat tawaran berlakon sejak dia membuat keputusan menutup aurat dengan bertudung.

Menurut Mia, dia bagaimanapun akur dengan perkara itu kerana sudah bersedia dengan segala kemungkinan sejak membuat keputusan berkenaan pada Disember tahun lalu.





"Tidak mengapa kerana Allah akan memberi rezeki lain kepada saya nanti. Malah saya sudah bersedia dengan segala kemungkinan yang mungkin berlaku selepas saya membuat keputusan mahu bertudung," ujarnya dipetik sebagai berkata.

Dalam pada itu, kata Mia, dia bersyukur apabila rezekinya dapat dilihat menerusi bidang perniagaan yang diceburinya di mana sambutan jualan tudung miliknya iaitu MS Couture sangat menggalakkan.

"Walaupun kurang tawaran, rezeki saya lebih kepada hasil jualan tudung menerusi label milik saya iaitu MS Couture secara online. Selain itu saya juga dapat memberi fokus penuh pada pelajaran," jelasnya.



Sementara itu, kata Mia, perubahan imejnya itu juga disifatkan sebagai satu keputusan yang sangat tepat apabila dia tidak lagi dikutuk rakan-rakan sekolah seperti yang sering dilaluinya sebelum ini.

"Saya bersyukur, perubahan yang saya lakukan ini memberi banyak kebaikan pada diri saya. Kawan-kawan tidak mengganggu atau mengutuk saya lagi. Sebaliknya mereka memuji saya. Malah pada hari pertama saya ke sekolah memakai tudung, saya diserbu kawan-kawan pula.

"Pengikut-pengikut di Instagram pun sama. Mereka tidak lagi mengkritik saya sembarangan. Alhamdulillah, saya ambil setiap perkara ini secara positif," katanya.


Sumber: mStar



         ________________________




No comments: