02 July 2016

AL-FATIHAH - AZIZ SINGAH KEMBALI KE RAHMATULLAH



Pelakon veteran Datuk Aziz Singah, 74, yang menderita kanser prostat sejak beberapa tahun lalu telah menghembuskan nafas terakhir di samping keluarga di kediamannya di Seri Kembangan, Serdang kira-kira pukul 11.10 malam semalam.

"Ayah berada dalam keadaan nazak semasa dirawat di Pusat Kanser Negara, Putrajaya dan kira-kira pukul 10 malam, kami memutuskan untuk membawa dia pulang ke rumah.





"Kira-kira sejam berada di rumah, ayah menghembuskan nafasnya yang terakhir," ujar anak kepada Aziz Singah, Muhammad Daniel Aziz, 24.

Kata Daniel, jenazah bapanya akan dimandikan di Masjid Universiti Putra Malaysia (UPM) kira-kira pukul 8 pagi hari ini dan akan dikebumikan di tempat kelahirannya di Kampung Bongek, Rembau Negeri Sembilan sebelum solat Zohor.

Allahyarham sering keluar masuk hospital untuk mendapatkan rawatan untuk penyakit yang dihidapinya itu.


--- IKLAN ---




Ditanya apakah pesanan terakhir arwah, Muhammad Daniel berkata, bapanya banyak bercakap mengenai keluarga mereka.

Aziz Singah yang popular pada era 1980-an pernah membintangi banyak drama namun lakonannya dalam PJ Holding antara karya yang diingati sehingga ke hari ini.

Beliau juga pernah berlakon dalam beberapa buah filem termasuklah Maria Mariana terbitan Skop Productions.



Allahyarham pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon Khatijah Abu Hassan dan dikurniakan tiga orang anak namun hubungan itu tidak bertahan lama.

Beliau kemudiannya berkahwin dengan Datin Zunita Mohamed dan hasil perkahwinan itu mereka turut dikurniakan anak jumlah yang sama.

Takziah kami ucapkan dan semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman. Amin.


Sumber: mStar



         ________________________





No comments: