18 February 2017

"MAHU JADI IBU TERBAIK" - FEEYA ISKANDAR



Sejak melahirkan Adam Malique pada 7 Februari lalu, penyampai radio Sinar FM, Feeya Iskandar atau lebih mesra disapa sebagai Cik Piah, mengakui rutin hidupnya kini berubah 360 darjah.

Dalam masa masa, Cik Piah yang menyifatkan pengalaman itu sebagai sesuatu yang paling bermakna dalam hidup, bertekad menjadi ibu yang bertanggungjawab mendidik dan membesarkan cahaya mata sulungnya itu.

"Alhamdulillah, detik yang paling saya dan suami tunggu tiba juga dengan kelahiran zuriat pertama kami, Adam Malique yang sekali gus memberi status dan peranan baru kepada kami.

Klik untuk gambar besar




"Perasaannya sukar digambarkan dengan kata-kata, cuma sebaik melihat wajahnya buat kali pertama, saya sangat bersyukur dan bertekad menjadi ibu terbaik untuk dia," luahnya penuh syukur.

Tambah Cik Piah lagi, semenjak kelahiran Malique, dia dan suami masing-masing cuba menyesuaikan diri dengan tanggungjawab baru mereka.

"Saya sebenarnya cukup bertuah kerana mempunyai suami yang sentiasa menyokong baik sepanjang tempoh kehamilan, bersalin dan kini ketika dalam berpantang, kami sama-sama belajar menguruskan anak.



"Masing-masing dah bertambah tugas dan perlu ambil tahu banyak perkara tentang anak, namun momen inilah yang paling membahagiakan dan berharap kami dapat membesarkannya dengan penuh kasih sayang," katanya yang melalui proses bersalin secara normal.

Biarpun sudah bergelar ibu, Cik Piah akan meneruskan kerjayanya sebagai penyampai radio seperti biasa selepas tamat tempoh berpantang dan tidak mahu menjadikan statusnya sebagai ibu penghalang untuk terus membina kerjaya.

"Insya-Allah selepas habis berpantang selama 100 hari, saya akan kembali ke udara menemui pendengar Sinar FM seperti biasa dan belum terfikir untuk menjadi suri rumah sepenuh masa.



"Cuma semestinya selepas ini saya perlu lebih bijak membahagikan masa antara keluarga dan kerjaya agar segalanya berjalan dengan baik tanpa mengabaikan salah satunya.

"Alhamdulillah, suami juga sangat memahami dan sentiasa menyokong dan mengizinkan saya bekerja tanpa sebarang halangan," jelas penyampai cukup dikenali sebagai seorang yang ceria ini.

Selain bergelar penyampai radio, Cik Piah juga aktif mengacara dan sentiasa cuba mencari peluang terbaik meneruskan minatnya dalam bidang itu.



"Selain bertugas di konti, saya turut aktif dalam pengacaraan, cuma sepanjang tempoh hamil saya tidak banyak terima tawaran kerana mahu menumpukan perhatian kepada kandungan," katanya yang sebelum ini turut mengendalikan salah satu segmen dalam program Maharaja Lawak Mega.

Cik Piah juga terpaksa melepaskan beberapa tawaran ketika ini tetapi tetap berharap rezeki akan terus menyebelahinya selepas ini.

Untuk rekod, Cik Piah mendirikan rumah tangga dengan Nurashid Abd Wahab pada Mei tahun lalu.


Sumber: Media Hiburan
Foto: Feeya Iskandar IG



         ________________________





No comments: