01 March 2018
TIADA HATI LAGI PADA ISTERI PERTAMA: "IZREEN BUKAN PUNCA" - UDE
"Sehingga ke hari ini, saya masih sayangkan Ude. Bersedia atau tidak, saya terima dan reda lafaz cerai yang akan dibuat suami," kata isteri pertama Ude Wahid, Intan Liana Saleh sambil menangis dan mengakui tidak tahu apa salahnya sehingga suaminya itu sanggup memfailkan permohonan cerai.
Mengakui Ude atau nama sebenarnya Muhammad Radzi Abdul Wahid, seorang suami dan bapa yang baik serta penyayang, hubungan suami isteri menjadi renggang sejak November lalu.
Ude pula mengakui sudah mengahwini pelakon Izreen Azminda pada Ogos tahun lalu. Intan dan Izreen Azminda hanya sempat menjalani hidup bermadu selama enam bulan.
"Kami sudah tidak sebumbung sejak November lepas dan saya masih menetap di rumah yang disediakan Ude bersama anak-anak," tuturnya.
Klik untuk gambar besar
Setelah episod kontroversi kahwin secara senyap, semalam jam 2.30 petang, pemuzik itu dijadualkan melafazkan cerai terhadap isteri pertamanya di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Gombak Timur, Taman Sri Keramat, Kuala Lumpur, tetapi kes itu ditangguhkan, minggu depan.
Bagaimanapun isteri kedua, Izreen enggan memberikan komen lanjut mengenai perpisahan suaminya itu kerana bimbang akan mengeruhkan lagi keadaan. Jelasnya lagi, beliau juga tidak pernah mencampuri urusan pasangan itu.
"Saya pasti apa saja yang keluar daripada mulut saya akan diputar-belit dan dipersalahkan di kemudian hari seperti sebelum ini apabila berita pernikahan kami didedahkan.
"Saya tidak pernah bertanya mengenai mereka berdua. Saya rasa itu jalan terbaik mengelak konflik. Jadi apabila mereka membuat keputusan untuk berpisah, saya juga tidak tahu puncanya.
"Dan saya tidak punya hak untuk ambil tahu kerana takut nanti disalah anggap dan dipersalahkan kemudian," ujarnya yang mempuanyai seorang anak lelaki hasil perkahwinan terdahulu.
Sebelum ini Izreen dikecam hebat apabila mengahwini pemuzik itu secara senyap tanpa pengetahuan isteri pertama. Lebih mencetuskan kemarahan orang apabila rumah tangga Ude dan Intan berentakkan sejak mengahwini Izreen.
Selepas isteri pertama membuat kenyataan tentang suaminya memfailkan permohonan cerai, giliran Ude pula memberi kenyataan tentang hubungan rumah tangga mereka.
Pemuzik bebas itu mengakui, dia sudah tiada hati untuk hidup bersama dengan isterinya itu dan perpisahan adalah jalan terbaik.
Ude berkata, dia dan Intan tidak sanggup menipu diri untuk meneruskan lagi perhubungan sebagai suami isteri.
"Agak lama juga saya membuat pertimbangan dan perpisahan adalah jalan terbaik. Bagaimanapun, kebajikan isteri pertama dan dua anak kami, Arish Muqri, 4, serta Ariq Muqri, 1, tidak akan diabaikan.
"Saya kecewa dilemparkan tuduhan melulu netizen yang menganggap saya sebagai bapa yang tidak bertanggungjawab. Apa juga yang terjadi antara saya dan isteri pertama, itu masalah kami. Tidak perlu mengaitkan anak saya," jelasnya.
Permohonan cerai dibuat pada 30 November tahun lalu, Ude bakal melafazkan cerai terhadap isteri pertamanya selepas proses perbincangan mengenai nafkah dan penjagaan anak selesai.
Dalam pada itu, Ude turut meminta keputusannya untuk bercerai tidak dikaitkan dengan isteri kedua, Izreen. Ude berkata, beliau tidak sanggup lagi menipu diri untuk meneruskan hubungan suami isteri, Intan.
"Seperti yang saya nyatakan bahawa keputusan untuk bercerai adalah jalan terbaik. Apa yang berlaku biarlah saya dan Intan Liana yang selesaikan. Izreen tidak pernah mencampuri urusan saya dan Liana.
"Seperti sebelum ini orang menuduh saya melulu dengan berkata saya seorang bapa yang tidak bertanggungjawab, sedangkan kebajikan Intan Liana dan dua anak tidak akan saya abaikan," katanya.
Dek kerana itu, netizen telah melepaskan geram di ruangan komen terhadap keputusan Ude. Ramai mendakwa keputusan Ude dipengaruhi oleh Izreen sejak pasangan itu bernikah hujung tahun lalu.
www.myartis.com / Sumber: Sinar Harian, Harian Metro & Berita Harian
________________________
Labels:
Berita sana sini,
Gambar sana sini
No comments:
Post a Comment