12 January 2020

"SEMANGAT BERKARYA BERKOBAR-KOBAR..." - MAMAT KHALID SEMAKIN PULIH


Koma lebih dua minggu dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah pusat perubatan di Petaling Jaya, Selangor, akibat masalah jantung, tahun lalu, pengarah Mamat Khalid atau nama sebenarnya Mohamad Mohamad Khalid, 56, berkata kesihatannya semakin baik ketika ditanya mengenai keadaan terkininya.





"Saya sekarang berada di Tanjung Malim, Perak. Walaupun doktor sarankan agar saya banyak berehat, semangat untuk berkarya masih berkobar-kobar. Saya bukanlah seorang yang boleh duduk diam. Setakat ini, ada beberapa projek seperti telefilem yang sudah siap dan bakal diarahkan.

"Saya juga mempunyai perancangan untuk menghasilkan filem baharu. Selain Rock 4, ada sebuah lagi filem arahan saya sedang menunggu giliran untuk ditayangkan, iaitu Manap Karaoke," katanya.

Sementara itu, Mamat menyangkal tanggapan 'Rock 4: Rockers Never Dai', hilang identiti rock kapak yang selama ini menjadi tanda dagang dan tarikan kepada penggemar siri filem itu.

Menurut Mamat, walaupun kumpulan Rimba Bara tidak lagi ditampilkan dalam filem susulan yang bakal menemui penonton pada Februari ini, genre muzik popular era 1990-an masih dapat dinikmati menerusi karyanya itu.

"Saya ada mendapat maklum balas daripada peminat yang meluahkan rasa kecewa jika benar irama rock kapak, yang selama ini menjadi identiti filem Rock, ditiadakan. Menerusi Rock 4, memang kami langsung tidak menampilkan kumpulan Rimba Bara kerana zaman mereka sudah berlalu, seperti diceritakan dalam karya sebelum ini.

"Apa yang cuba kami tampilkan dalam sekuel ini adalah kumpulan yang muncul selepas era terbabit, iaitu band rock ‘indie’. Kalau kita lihat, muzik yang diketengahkan band ‘indie’ tidak seperti rock era 1990-an. Bagaimanapun, peminat tak perlu risau kerana kami masih mengekalkan lagu sebegitu dalam filem ini. Cuma, jalan cerita dan kumpulan yang diketengahkan sahaja berbeza," jelasnya.

'Rock 4' yang mengambil masa dua tahun untuk disiapkan sepenuhnya menampilkan lakonan Sharwani NS, Hazama, Adam John, Nazimi Fahmi dan Bulan Terry.


www.myartis.com / Sumber: Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: