09 March 2020

NAFI SPEKULASI KAHWIN DUA - EZAD LAZIM & ISTERI BERSANDING LAGI


"Memang benar saya mahu bersanding lagi. Bagaimanapun, bukanlah dengan wanita lain. Saya juga tidak berkahwin dua seperti spekulasi yang tersebar. Saya akan bersanding dengan isteri tercinta, Zeana Ramli sempena ulang tahun perkahwinan ketujuh pada 30 Mac ini," demikianlah kata penyanyi Ezad Lazim pada sidang media di Dewan Sri Taming, Balakong, yang diadakan petang semalam.





Teka teki Ezad didakwa berkahwin dua dan mengedarkan kad jemputan majlis persandingan akhirnya terjawab. Spekulasi Ezad atau nama sebenarnya, Mohd Rohaizad Mohamad Lazim, 40, berkahwin dua timbul apabila media massa menerima undangan menghadiri majlis persandingan penyanyi bersuara lemak merdu itu.

Bagaimanapun, kad jemputan tidak menyatakan butiran lanjut mengenai majlis, sebaliknya hanya meletakkan tarikh, masa dan lokasi acara berkenaan. Tidak kurang juga ada yang menganggap ia sekadar gimik, termasuk kemungkinan satu projek duet bersama penyanyi wanita.

Penyanyi lagu 'Demi Cinta' itu berkata, dia dan isteri akan bersanding kali kedua bersempena ulang tahun perkahwinan ketujuh di White Ballroom Petaling Jaya, Selangor pada 29 Mac ini: "Memilih tema cinta, kami akan bersanding di hadapan anak-anak, ahli keluarga dan rakan-rakan. Mungkin ia sesuatu yang jarang dilakukan ketika meraikan ulang tahun perkahwinan, tetapi kami mahukan ia menjadi momen manis untuk dikenang," jelasnya.

Klik untuk gambar besar


Ezad berkata sepanjang tujuh tahun melayari rumah tangga, dia dan isteri, Nor Azeana Ramli pernah berdepan dengan ujian dan dugaan dalam hubungan mereka. Menurut Ezad, tahun pertama perkahwinan merupakan ujian terbesar yang dilalui oleh mereka sehingga hampir membawa kepada perceraian.

"Perkenalan saya dengan isteri diatur keluarga dan kami bercinta selepas berkahwin... awal perkahwinan lagi kami dah diuji. Tahun pertama saya buat hal kena tangkap kerana terbabit kes dadah, masa tu hubungan kami ada krisis sikit, isteri mula menjauh tapi kami kuatkan diri sebab anak.

"Alhamdulillah sekarang ni kehidupan kami dah okay dan waktu mencabar dahulu dah terjadi. Isteri menerima saya dan tetap setia... gaduh-gaduh biasa tu normallah kan?," tutur Ezad yang berkahwin dengan Nor Azeana pada 30 Mac 2013 di Kedah dan dikurniakan sepasang cahaya mata bernama Puteri Rania Kiesha dan Putera Muhammad Darwish.



Dalam pada itu, vokalis kumpulan Exists ini turut menasihati pasangan muda yang baru berkahwin supaya bersabar dengan ujian dalam rumah tangga: "Kami pun bukan lama sangat kahwin tapi kalau ada masalah cuba selesaikan dengan baik dan matang.

"Kalau ikutkan pengalaman orang sekeliling pun ramai yang ada masalah dan berakhir dengan perceraian, satu yang menyedihkan. Ingat balik isteri, anak-anak dan apa yang kita dah mulakan dulu. Malah saya mengaku kejayaan saya hari ini adalah atas sokongan isteri," ujarnya.

Pada sidang media, Ezad turut berkongsi perniagaan baharu yang diceburi bersama isteri menerusi syarikatnya, EZ Ventures. Perniagaan diceburi membabitkan perancangan perkahwinan di bawah nama CINTA White Ballroom by Ezad Lazim. Ia juga merupakan sebahagian gimik pelancaran perniagaan majlis perkahwinan yang akan diusahakan oleh syarikatnya EZ Ventures.



"Dulu isteri teringin nak bersanding pakai gaun, iyelah semasa kami berkahwin dulu kecil-kecil, kawan pun tak jemput... jadi kali ini dapatlah realisasikan impiannya itu. Bersanding semula ini sebahagian gimik sempena ulang tahun perkahwinan kami dan saya juga baru menceburi bidang perniagaan dan membuka dewan perkahwinan di Petaling Jaya. Isteri pula ada pengalaman dalam bidang perkhidmatan dan pengurusan acara. Harap segalanya berjalan lancar.

"Perniagaan majlis perkahwinan tidak akan surut. Walaupun ekonomi merosot, pasangan berkahwin tetap ada dan mengadakan majlis resepsi. Lagipun, isteri saya mempunyai pengalaman dalam bidang perkhidmatan dan pengurusan acara. Itu salah satu faktor saya memilih perniagaan perancang perkahwinan ini.

"Ia dinamakan cinta kerana diilhamkan menerusi lagu saya yang kebanyakannya berkisar cinta dan sesuai bagi pasangan yang mahu menuju ke gerbang perkahwinan," ujarnya pada sidang media tersebut yang turut dihadiri, Pengasas Ilham Kayaman Sdn Bhd yang akan bertindak menguruskan majlis persandingan Ezad dan Zeana pada 29 Mac ini.




www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian, mStar, Instagram Hlive & Ezad Lazim


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: