20 April 2020

DEDAH NO TELEFON - NABILA RAZALI NAFI TIRU, AKUI TERIMA LEBIH 40,000 MESEJ


Setelah lagu terbaharu, 'Peluang Kedua' menerima satu juta tontonan di laman Youtube, penyanyi Nabila Razali telah menunaikan janjinya kepada peminat dengan berkongsi nombor telefon peribadi. Selepas memuatnaik nombor telefon di laman Instagram, Nabila berkata telefonnya hampir gagal berfungsi selepas menerima lebih 40,000 mesej menerusi aplikasi Whatsapp dan ratusan panggilan daripada peminat.





"Selepas kongsi nombor telefon peribadi, saya menerima mesej dan panggilan tak henti-henti daripada peminat... sampaikan telefon 'hang' dan bateri habis kerana mesej bertalu-talu masuk sehingga awal Subuh.

"Saya sempat jawab beberapa ratus mesej dan panggilan daripada mereka... cumanya mesej di Whatsapp itu perlukan sedikit masa untuk balas, kita tak sempat nak balas lagi, mesej orang lain pula masuk! Sejujurnya saya seronok dapat berinteraksi secara peribadi dengan peminat kerana rasa lebih dekat dengan mereka dan inilah masa untuk membalas semula sokongan peminat sebelum ini," katanya.

Dalam masa sama, pelakon drama 'Seindah 7 Warna Pelangi' ini berkata ramai peminat teruja dan tidak percaya nombor yang dikongsi itu adalah nombor peribadinya: "Mula-mula ada yang ingat saya main-main sahaja bagi nombor telefon, tapi bila saya jawab panggilan mereka terus terkejut dan malu-malu nak bercakap.

Klik untuk gambar besar


"InsyaAllah selagi ada masa, saya sendiri yang akan balas dan jawab panggilan mereka semua, cumanya kena bersabar sedikit sebab terlalu banyak mesej masuk. Saya minta maaf jika tak sempat nak balas semuanya... apa-apa pun terima kasih kepada semua yang tak henti menyokong karier seni saya dan teruskan menonton lirik video Peluang Kedua di Youtube ya!," ujarnya.

Single kelima berjudul 'Peluang Kedua' merupakan ciptaan sepenuhnya Hael Husaini. Lirik video telah dimuatnaik di laman Youtube Nabila Razali Entertainment sejak Khamis lalu mendapat lebih 1000 nyanyian semula (cover) sebelum ia dilancarkan secara rasmi pada Khamis lalu. 'Peluang Kedua' boleh didengari menerusi semua platform digital pada Jumaat depan.

Sementara itu, Nabila menyangkal dakwaan cuba meniru cara penghibur antarabangsa, Ali Gatie yang terlebih dahulu mendedahkan nombor telefon peribadinya kepada peminat di Malaysia menerusi platform Twitter pada awal Mac lalu. Nabila ketika dihubungi berkata, dia mempunyai alasan tersendiri untuk berkongsi nombor telefon peribadinya kepada peminat, namun tidak mengetahui niat utama Ali.



"Berkongsi nombor peribadi di laman sosial bukan satu 'trademark'. Sesiapa saja boleh berbuat demikian, sama seperti saya yang berkongsi nombor telefon apabila jumlah tontonan lirik video 'Peluang Kedua' mencecah satu juta tontonan di YouTube.

"Itu adalah janji saya kepada peminat di laman sosial jika lagu itu berjaya mencapai sasaran 1 juta tontonan pada hari kedua dilancarkan. Sejujurnya, saya tidak tahu menahu tentang ada artis lain turut melakukan tindakan sama hingga ada netizen yang maklumkannya di laman sosial. Bagi saya, masing-masing mempunyai cara tersendiri untuk tujuan promosi.

"Lagipun ramai yang tahu saya dan pihak pengurusan sentiasa mencari idea kreatif untuk mempromosikan setiap lagu baru dilancarkan. Saya tak rasa apa yang dibuat ini satu kesalahan atau meniru sesiapa.

"Memandangkan kita semua dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya kira ini adalah idea efektif untuk mempromosikan lagu baru kepada peminat. Saya juga tidak boleh keluar untuk aktiviti promosi di radio atau televisyen. Jadi ini salah satu cara terbaik untuk mendekatkan diri dengan peminat," jelasnya.






www.myartis.com / Sumber & foto: mStar, Harian Metro & Instagram Nabila Razali


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: