22 June 2020

"BUANG AIR ATAS KATIL & MUNTAH HIJAU" - PERNAH HIDAP MENINGITIS, ERIC FLOOR 88 BERSYUKUR UMUR MASIH PANJANG


Berkongsi pengalamannya menghidap penyakit meningitis iaitu jangkitan kuman pada saraf selaput otak ketika masih di bangku sekolah pada tahun 2008, pemain keyboard kumpulan Floor88, Eric Fuzi, 28, berkata pada mulanya dia berasa sakit di bahagian belakang tengkuk namun tidak mengambil serius hal itu selepas diberitahu sakit itu disebabkan salah posisi tidur.





"Sehari sebelum kejadian, saya ada mengadu pada mama yang tengkuk saya terasa sakit sangat. Tapi masa pergi klinik, doktor kata salah bantal saja. Saya juga dah mula demam jadi doktor bagi ubat demam, antibiotik dan sebagainya. Keesokan harinya, saya ikut kakak dan abang ipar saya beraya tapi balik tu, saya memang tak ingat apa-apa," katanya.

Berkongsi detik itu, Eric berkata, dia ditemui tidak sedarkan diri di biliknya sebelum dibawa ke hospital. Pelakon 'Brainscan: Aku Dan Topi Ajaib' ini berkata dia tidak sedarkan diri selama tiga hari dan ditahan di hospital selama kira-kira sebulan.

"Saya diberitahu ketika kejadian tu saya balik dan mandi macam biasa, makan ubat. Tapi pagi esok tu memang saya tak bangun. Kakak saya jumpa saya masa tu katil dah basah. Saya buang air atas katil dan muntah hijau. Ahli keluarga bersihkan saya dan bawa ke hospital," ujarnya.

Tambahnya, berat badannya turun mendadak daripada 70 kilogram sehingga 45 kilogram dalam masa sebulan. Eric berkata, dia kemudian menjalani fisioterapi sehingga membuatkan berat badannya naik mendadak sehingga kini.

Klik untuk gambar besar


"Berat saya ketika itu 70 kilogram, tapi turun mendadak sehingga 45 kilogram dalam masa sebulan saya di hospital. Saya perlu jalani fisioterapi untuk pulih sepenuhnya sebab ia melibatkan otak. Bila dah selesai fisioterapi, berat saya naik mendadak sampai sekarang," katanya.

Bagaimanapun, Eric bersyukur dengan apa yang berlaku kerana menganggap ia satu teguran dari Allah SWT agar dia tidak melakukan perkara yang dilarang dalam Islam. Katanya, pengalaman yang menginsafkan itu membuatkan dia lebih menghargai orang sekeliling yang menyayanginya.

"Tapi bila kena ni, saya anggap ia teguran daripada Allah SWT. Alhamdulillah, tak ada la kita terfikir nak buat benda-benda tak elok di dunia ni. Kejap saja, kita boleh jadi orang paling kuat di dunia tapi dalam sekelip mata juga kita boleh terjatuh dan tak mampu melawan sakit.

"Kena lebih berhati-hati dalam menjaga kesihatan dan perlu menghargai apa yang saya ada terutamanya orang sekeliling yang menyayangi saya... Nak-nak lagi saya dah merasa momen-momen saya hampir tinggalkan dunia ni... Tapi Alhamdulillah umur panjang," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Eric bakal muncul dalam filem 'Mencari Rahmat' lakonan Nam Ron, Amerul Affendi, Fauziah Nawi dan Sharifah Amani yang dijangka bakal ditayangkan pada tahun ini.


www.myartis.com / Sumber: mStar


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: