31 March 2021

ISU KE LANGKAWI - NEELOFA PERGI ATAS URUSAN KERJA



Isu selebriti popular Neelofa dan suaminya, PU Riz atau Haris Ismail yang didakwa tiba di Langkawi itu hangat diperkatakan sehingga tular di media sosial dan disiasat polis.

Terbaru, Polis Daerah Brickfields mengesahkan telah memberi kebenaran kepada Neelofa bersama tiga lagi individu untuk ke Langkawi atas urusan kerja.

Permohonan dibuat oleh wakil sebuah syarikat produk di Balai Polis Sri Hartamas atas urusan kerja bersama pihak Chatime Malaysia dan bukan untuk berbulan madu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Basri Sagoni berkata, berdasarkan permohonan, kesemua mereka dibenarkan pergi ke lokasi tujuan bermula 27 Mac hingga 4 April 2021.

Klik untuk gambar besar



"Syarikat terbabit turut mengeluarkan surat memaklumkan nama Neelofa dan tiga yang lain berserta nombor kad pengenalan sebagai mewakili mereka untuk melawat kawasan Chatime yang akan dibuka," katanya.

Berdasarkan jadual pergerakan mereka, lokasi yang akan dituju oleh Neelofa atau nama sebenarnya, Noor Neelofa Mohd Noor dan empat lagi adalah Langkawi, Sungai Petani, dan Kangar, Perlis.

"Mereka dijadual tiba di Langkawi pada 29 Mac dan akan berada di sana sehingga 2 April sebelum melawat cawangan Chatime di Sungai Petani dan Kangar pada 3 April.



"Justeru, saya tegaskan kebenaran permohonan yang dikeluarkan oleh Balai Polis Sri Hartamas adalah atas urusan kerja dan bukan untuk tujuan berbulan madu," jelasnya.

Katanya lagi, sekiranya terbukti kehadiran Neelofa ke Langkawi untuk tujuan berbulan madu, pihak polis di sana boleh mengambil tindakan kerana melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Sebelum ini, beberapa gambar memaparkan Neelofa dan suaminya, Haris Ismail, berada di Langkawi tular di media sosial hingga menimbulkan beberapa persepsi, termasuk dakwaan merentas negeri untuk berbulan madu. Pasangan itu melangsungkan pernikahan pada Sabtu lalu (27 Mac 2021).





www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian, Instagram Chatime Malaysia & @mangotouch

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: