12 March 2021

MELAWAT LEPAS AJL35 TAK KESAMPAIAN - KAKA AZRAFF IMBAU KENANGAN BERSAMA NENEK



Penyanyi Kaka Azraff telah meluahkan rasa terkilan hasratnya melawat selepas selesai malam kemuncak Anugerah Juara Lagu yang ke-35 (AJL35) yang berlangsung pada malam, Ahad tidak kesampaian apabila neneknya iaitu Yang Asmah Long, 92, telah menghembuskan nafas terakhirnya pada Khamis.

"Alhamdulillah, Allah permudahkan segala urusan Uwan untuk bertemu dengan penciptaNya. Sangat tenang. Kaka masih terkejut, sebab Kaka tak sempat jumpa Uwan. Hari-hari cakap rindu, tapi Kaka busy, tak sempat.

"Ingat lepas AJL nak jumpa Uwan, tapi Uwan pergi dulu pada hari Isra Mikraj. Ya Allah, kau ampunkanlah segala dosanya. Kau tempatkan dia bersama orang-orang yang beriman. Insya-Allah, kami akan menyusul nanti. Al-Fatihah," katanya.

Dalam pada itu, Kaka meluahkan rasa syukur apabila segala urusan pengebumian arwah berjalan dengan lancar dan mengakui dirinya masih terkejut dengan berita tersebut.

Klik untuk gambar besar



Kaka turut memberitahu, pemergian nenek yang mesra disapa sebagai Uwan itu benar-benar memberi kesan yang mendalam kepada dirinya. Mempunyai hubungan yang sangat rapat sejak kecil, Kaka menerusi muat naik di laman Instagram memberitahu dia sentiasa mengikut ke mana sahaja neneknya pergi.

Menganggap arwah seorang yang mahukan kesempurnaan, penyanyi berusia 32 tahun ini mendedahkan neneknya akan memastikan setiap tetamu yang datang ke rumah dijamu dengan makanan.

"Gambar kenangan Uwan bersama sahabat baiknya. Masa kecil, Kaka akan ikut ke mana saja Uwan pergi. Marhaban, kelas agama, kenduri kahwin, tahlil, terawih, jalan-jalan petang semua Kaka ikut.



"Bila Kaka dah besar, Kaka busy sikit. Bila melawat Uwan, dia mesti ajak tidur dengan dia. Kenangan terindah Kaka bersama Uwan. Seorang nenek yang perfect! Sebab Arwah seorang perfectionist.

"Rumah tak pernah tak ada makanan. Bila orang datang, mesti jamu makanan. Mesti suruh orang makan. Siapa kenal mak cik Yang, mereka tahu Insya-Allah," kongsi Kaka.

Kaka atau nama sebenarnya Nor Atiqa Noor Azraff ini turut berkongsi foto kenangan arwah bersama sahabat baiknya di Instagram pada Jumaat dan ruang komen dipenuhi dengan ucapan takziah daripada netizen dan rakan selebriti.

Allahyarham juga merupakan ibu kepada ratu rock Malaysia iaitu Ella Aminuddin yang turut berkongsi berita sedih itu di laman Instagram miliknya. Menurut Ella, arwah ibunya meninggal dunia akibat sakit tua di kediamannya yang terletak di Teluk Gadong, Klang pada awal pagi Khamis.




www.myartis.com / Sumber & foto: mStar, Instagram Kaka Azraff & Ella Aminuddin

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: