10 April 2021

"SAYA MAAFKAN TAPI TAKKAN LUPA" - CHEF WAN TAK PERNAH BANTAH, MAHU CALON SUAMI DISIASAT



"Saya tidak pernah membantah hasrat Serina nak berkahwin, sebaliknya mahu dia benar-benar menyiasat calon suaminya terlebih dulu. Sejak mula saya tidak pernah membantah pun. Saya siap bergurau lagi dan suruh dia bersabar untuk beberapa bulan lagi. Kenalah siasat dulu sebelum nikahkan mereka. Akhirnya ada orang beritahu saya mereka sudah nikah di Siam (Thailand).

"Penat mak bapa bela dari dua tapak jari, apabila besar ini balasannya. Semalam saya menangis dengan rasa pedih melihat komen daripada orang ramai. Ia sangat melukakan hati saya. Berhenti salahkan saya kononnya aibkan anak nikah di Thailand. Anda tak terfikir saya ada hak untuk jujur menjelaskan dan menyampaikan kebenaran?

"Tak cerita macam-macam fitnah nanti keluar dan orang akan mengumpat dan mengata macam-macam hingga ditokoktambah. Sedangkan sudah cerita pun masih ada menuduh konon saya tak bagi restu. Inilah kisah anak-anak kita yang degil, kepala macam batu! Ia terjadi kepada ramai keluarga di luar sana pun sebelum ini.

"Bukan saya seorang saja. Apabila buat kesalahan begitu, belajar supaya keluarga lain ambil teladan daripada sifat pendek akal dan pentingkan diri sendiri itu. Ini pengajaran buat semua terutama anak-anak muda. Jangan jadikan perbuatan mereka yang tak betul itu betul," ujar cef selebriti terkenal, Chef Wan yang mengakui beliau menangis selepas dibanjiri pelbagai tohmahan berhubung kisah pernikahan anaknya, pelakon Serina Redzuawan, semalam.

Klik untuk gambar besar



Chef Wan atau nama sebenarnya Redzuawan Ismail, 63, berkata, dia terkilan apabila diketepikan dalam urusan pernikahan anaknya itu dan menyifatkan Serina hanya mementingkan diri. Chef Wan berkata, dia juga kecewa dengan sikap segelintir orang yang tidak tahu hujung pangkal menyerangnya secara terbuka kononnya dia tidak membenarkan Serina berkahwin.

Tegas Chef Wan, dia mempunyai hak untuk bersuara dan menjelaskan kebenaran mengenai perkara itu. Dia tidak mahu perkara itu terus tersebar dan bertukar fitnah. Ujar Chef Wan, perkara ini sepatutnya menjadi teladan buat masyarakat yang berdepan isu kekeluargaan. Menurutnya, perkara yang salah tetap salah.

Chef Wan yang jelas terluka dan kecewa dengan tindakan anak perempuannya itu membelakangkannya apabila melangsungkan pernikahan dengan pegawai polis, Meor Mohammad Aidid.



Namun, Chef Wan atau nama sebenarnya Redzuawan Ismail tetap merestui perkahwinan Serina dan mendoakan kebahagiaan anaknya itu dengan suami. Bagaimanapun, menurut Chef Wan, Serina harus menanggung sendiri kesan akibat perbuatannya dan tidak perlu mempersoalkan tindakannya untuk mendedahkan kebenaran.

"Saya maafkan anda berdua, tapi sebagai bapa, saya tak akan lupakan apa yang anda berdua lakukan terhadap saya. Buat segala cara betul dan jangan sesekali membelakangkan mak bapa! Sendiri buat sendiri tanggunglah. Bertahun-tahun Serina sakiti saya dengan semua sejarah dan hubungan lampau anda. Cukup-cukuplah," tuturnya.

Chef Wan juga meminta Serina untuk tidak salahkan orang luar disebabkan tindakannya bernikah di luar pengetahuannya. Menurutnya, mereka patut lebih tahu mengenai kesannya.



"Mari tutup bab ini dan tak payah salahkan orang luar konon fitnahkan anda berdua. Itu sebab jika nikah cara jujur, tak adalah orang nak fitnah dan bersangka buruk," ujarnya.

Semalam, Chef Wan meluahkan rasa kecewa apabila hanya mendapat tahu mengenai pengumuman pernikahan anaknya, Serina daripada kakaknya. Beliau turut mendedahkan pasangan itu bernikah di Thailand. Ia susulan selepas Serina mengumumkan sudah melangsungkan pernikahan dengan jejaka pilihannya yang juga seorang anggota polis dikenali sebagai Aidid, semalam. Menurutnya, majlis pernikahannya itu dibuat secara tertutup.

Sementara itu, Serina menerusi laman Instagram miliknya telah tampil menafikan mereka bernikah di Thailand, sebaliknya ia dijalankan di Perlis. Dia turut menafikan Aidid berstatus suami orang sebaliknya adalah seorang duda.

Sebelum ini, Serina pernah mendirikan rumah tangga dengan Salahudin Ghafar pada 1 Januari 2010. Bagaimanapun, mereka bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Daerah Petaling pada 1 Ogos 2017 selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga. Mereka dikurniakan dua cahaya mata, Tristan Tareef, 11, dan Isabella Saffiya, 10.




www.myartis.com / Sumber & foto: Harian Metro, Instagram Chef Wan & Serina Redzuawan

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: