11 July 2021

MENINGGAL DUNIA AKIBAT ASMA - KELUARGA IZINKAN JENAZAH BENJY DIKEBUMI DI MEDAN



Anak kepada aktres Allahyarham Azean Irdawaty iaitu pelakon Benjy Ibrahim atau nama sebenarnya Khaeryll Benjamin Ibrahim telah menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital di Medan, Indonesia pada Ahad, akibat penyakit asma.

Berita pemergian Benjy itu dimaklumkan oleh ayah Benjy, Khairil Anwar Zainal Mukhtar Rashidi. Menurut Karl, beliau dimaklumkan anak sulungnya itu meninggal dunia akibat penyakit asma.

"Ben (panggilan buat Benjy) meninggal di hospital Medan Indonesia akibat Asma hari ini. Ada kawan Ben telefon saya maklumkan Ben meninggal dunia pukul 11 pagi ini," jelas Karl dalam nada sebak ketika dihubungi.

Difahamkan Allahyarham Benjy yang berusia 43 tahun dilaporkan tenat dan sukar bernafas akibat diserang penyakit Asma sebelum menghembuskan nafas terakhir.

"Benjy tidak dapat bernafas akibat sakit tenat lebih kurang pukul 11 pagi (waktu Malaysia) dan telah cuba dibawa ke rumah sakit di sana tetapi tidak sempat diselamatkan," ujar keluarga Allahyarham Benjy.

Kenyataan keluarga Benjy turut menyebut Allahyarham telah lama mengalami Asma yang kronik dan penyakit paru-paru lain serta sering keluar masuk hospital sejak beberapa tahun lalu.

Klik untuk gambar besar



Karl yang diuji dengan penyakit strok itu berkata, urusan pengebumian Benjy akan dilakukan di Medan. Jenazah Benjy akan dikebumikan di Medan, Indonesia esok selepas diberi keizinan oleh keluarga Allahyarham.

"Kami sekeluarga telah mengizinkan pihak penjara di Medan mengebumikan jasad (Benjy) di sana. Urusan pengebumian akan dijalankan esok," kata keluarga Allahyarham Benjy dalam kenyataan yang dikeluarkan sebentar tadi.

Pada 2017, Benjy dijatuhi hukuman penjara 11 tahun di Indonesia atas kesalahan cubaan menyeludup dadah jenis syabu.

Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), ketika dihubungi mengesahkan, buat masa ini sedang mendapatkan bantuan dari pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Medan, Indonesia untuk pengurusan jenazah.

"Kami sedang berhubung dengan wakil Malaysia di sana, perkembangan terbaharu akan diberitahu kelak," kata Hafiz Hanafiah, Setiausaha SENIMAN.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: