07 October 2021

SUDAH MERISIK - ZUL (2 BY 2) RANCANG KAHWIN DENGAN MAYA (THE GIRLS) TAHUN DEPAN



Komposer dan penyanyi Zul 2 By 2 mengakui sudah menghantar rombongan merisik terhadap keluarga bakal isterinya, penyanyi Intan Maya yang juga bekas anggota kumpulan The Girls, di Kluang, Johor pada Jun lalu. Zul atau nama sebenarnya Zulkifli Majid, 49, turut mengesahkan akan berkahwin dengan pilihan hatinya itu.

"Ikutkan perancangan asal, kami sepatutnya bernikah September lalu. Namun, ia terpaksa ditunda akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan perkara lain. Insya-Allah apabila semuanya kembali okay, saya rancang nak tunang dan kahwin terus dengan Maya tahun depan," katanya.

Zul berkata, dia sudah mengenali Maya, 38, ketika bakal isterinya itu menganggotai The Girls. The Girls adalah kumpulan yang dianggotai enam wanita yang ditubuhkan pada 2001. Menurutnya, dia juga menyukai perwatakan Maya yang mempunyai wajah keibuan dan penyayang.

"Ketika itu kami hanya kenal sebagai rakan artis. Kami hanya rapat bermula April lalu apabila saya hadir ke satu majlis berbuka puasa dan kebetulan Maya pun ada sama. Dari situlah kami berhubung semula. Dulu rakan artis, sekarang masing-masing sudah solo okaylah.

Klik untuk gambar besar



"Bila dah kenal dan kerap berhubung menerusi mesej WhatsApp, kami semakin mengenali hati budi. Saya nampak dia orang yang jujur dan ikhlas dari segi apa-apa aspek pun. Kami berdua ada keserasian dan persamaan, jadi itu yang membuat saya senang dengan dia. Tak dinafikan ramai juga yang terkejut dengan hubungan kami.

"Harapan saya memang tinggi. Kami sama-sama pernah mengharungi kegagalan rumah tangga dan menjadikannya satu pengajaran. Mana yang baik kami ikut dan yang buruk akan cuba elakkan. Insya-Allah," katanya yang turut menafikan cerita dia pernah mengahwini wanita Indonesia.

Sebagai kenangan mereka, Zul dan Maya tampil dengan single duet berjudul 'Sungguh Cinta' ciptaan Zul dan lirik Maya yang kini dimuat naik di Instagram dan YouTube.

Zul sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi Ismaliza Ismail dan mempunyai lima anak. Manakala Maya pula, mempunyai empat anak hasil perkahwinan terdahulu.







         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: