13 November 2021

KIERAN AKHIRNYA BETEMU JODOH SELEPAS 10 TAHUN MENDUDA



Tahniah diucapkan kepada pengacara dan penyampai radio, Kieran, 46, yang telah pun selamat melangsungkan pernikahan dengan wanita pilihannya, Nur Shafiyaziemah Shamudi, 33, di Shah Alam, semalam.

Kieran atau nama sebenarnya Maskiran Jakiran berkata, itu adalah perkahwinan keduanya selepas bergelar duda selama 10 tahun sejak 2011. Kata Kieran yang juga bekas penyampai radio Hot FM itu berkata, dia sudah mengenali isterinya itu sejak beberapa tahun lalu.

"Alhamdulillah, semalam diadakan majlis nikah dan seterusnya majlis makan makan. Jemputan seramai 250 membabitkan keluarga dan rakan terdekat saja. Ini bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang sudah ditetapkan.

"Selepas 10 tahun menduda baharulah saya ambil keputusan untuk berkahwin lagi. Ketika berpisah dengan isteri pertama dulu dua anak masih kecil. Jadi, saya memang nak memberi fokus dan berkhidmat untuk mereka. Setiap Jumaat hingga Ahad, masa saya memang bersama mereka sehinggalah sekarang pun. Itu yang belum fikir nak berumah tangga sekali lagi..

"Saya dan isteri sudah saling mengenali selama beberapa tahun. Dia tahu status saya dan sudah biasa dengan anak-anak. Pendek kata dia selesa. Begitu juga dengan dua anak saya. Ini adalah perkahwinan pertama buatnya. Saya hargai dia sebab sudi tunggu saya. Malah, dia faham dan jaga anak-anak dengan baik juga.

Jadi, saya bersyukur apabila sepanjang perhubungan kami dan proses perkahwinan kami dipermudahkan Allah SWT. Harapan saya semoga perkahwinan ini kekal ke akhir hayat, bahagia dan dikurniakan cahaya mata. Saya pun sudah lama hidup bujang. Isteri juga anak yatim piatu. Bapanya sudah meninggal dunia lama dan ibunya pula pada Ogos lalu.

"Macam saya pun ada mak saja. Insya-Allah, susah senang ini kami akan lalui bersama. Selain berdoa semua semuanya dalam keadaan baik saja," kata Kieran yang pernah berkahwin dengan Yang Azli Yang Mohd Yunos pada Jun 2008 dan dikurniakan dua anak lelaki iaitu Muhammad Adam, 12, dan Muhammad Iman, 11.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: