18 February 2022

USTAZ KAZIM ELIAS SUDAH JUMPA 6 DOKTOR PAKAR, TAPI PENYAKIT MASIH 'MISTERI'



Menghidap penyakit misteri sejak tahun lalu, pendakwah terkenal Datuk Ustaz Kazim Elias memaklumkan sudah berjumpa dengan enam doktor pakar perubatan namun gagal mengesan penyakit tersebut.


Ustaz Kazim, 49, berkata, meskipun sudah menjalani pelbagai prosedur rawatan termasuk melakukan pembedahan, namun dia akan tetap meneruskan rawatan moden dan alternatif sebagai ikhtiar.

"Alhamdulillah saya masih meneruskan rawatan di hospital. Setakat ini sudah enam doktor pakar merawat saya, tapi sampai sekarang tidak dapat mengenal pasti penyakit sebenar yang saya alami.

"Memang itulah jawapan yang saya dapat setiap kali buat rawatan. Kalau diikutkan saya sudah mengikut semua prosedur mereka seperti membuat imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI), ambil darah dan sampel spesimen.

"Jadi apabila mereka mengatakan tidak ada penyakit dan tiada masalah, saya okay dan teruskan dengan rawatan alternatif dan masih meneruskan rawatan itu ketika ini. Bagaimanapun, dengan doktor saya tetap membuat rawatan dan ada lagi pemeriksaan susulan minggu depan di Hospital Pakar Ipoh.

"Saya takut bila saya tidak pergi ke rawatan moden, nanti ada yang cakap tidak jumpa doktor pakar dan ada pula yang beri tindak balas lain pada hal saya sudah buat semua prosedur termasuk jalani beberapa pembedahan," ujarnya.

Klik untuk gambar besar



Menurut Ustaz Kazim, ketika kakinya dibedah sekitar hujung tahun lalu, doktor tidak menemui sebarang masalah meskipun kakinya mengalami bengkak teruk.

"Sebab kaki dah bengkak sangat, jadi saya izinkan doktor untuk membelah (bedah) dan memeriksa keadaan saya. Bila dibelah tidak ada darah dan nanah. Bukti video saya ada tetapi masalahnya kalau tunjuk kepada media takut dikatakan saya cari propa (propaganda).

"Namun, itulah yang berlaku dan bukan saya tidak serahkan kepada rawatan pakar. Malah ada juga rakaman video, di mana kaki saya dibedah tidak keluar darah walhal saya dah makan ubat cair darah dan bila luka sikit pun keluar darah banyak sebelum ini," katanya.

Terdahulu, Ustaz Kazim pernah membuat perkongsian sebuah video 'live' di laman Facebook miliknya pada Oktober tahun lalu, termasuk menunjukkan wajahnya yang kelihatan semakin cengkung dan susut.

Menerusi paparan itu, beliau yang sering muncul dalam program dan forum agama di kaca televisyen sebelum ini mendedahkan mengalami perubahan fizikal yang ketara pada wajah terutama bahagian mata dan bibir.

Tambahnya, dia dapat merasakan penderitaan yang dialaminya kini mungkin sihir yang berkaitan hasad dengki dan iri hati daripada pihak yang tidak menyukainya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: