19 September 2022

ISU DENGAN RAMLI MS - ELLY MAZLEIN AKUI SUDAH SELESAI & BERBAIK, GEMENTAR GANTI JIHAN MUSE



"Alhamdulillah, hubungan saya dengan Tok Ram (Ramli) baik-baik sahaja. Sampai bila kita nak bermasam muka. Semua masalah ada jalan penyelesaian.

"Saya dahulu yang minta maaf kepada Tok Ram dan sekarang ini kami dah boleh bergurau," demikian jelas pengacara Gegar Vaganza musim ke-9 (GV9), Elly Mazlein ketika ditemui pada minggu pertama GV9 yang berlangsung di Auditorium MBSA, Shah Alam pada malam Ahad.


Penampilan Elly Mazlein atau mesra disapa Kak Lina Pom Pom, di pentas Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) sekali gus menepis dakwaan kononnya dia masih berselisih faham dengan salah seorang juri iaitu Datuk Ramli MS.

Menurut Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 41, apa yang berlaku antaranya dengan pengarah muzik itu adalah kisah lama dan dia telah memohon maaf berhubung isu berkenaan.

Sebelum ini, Elly yang merupakan bekas peserta GV3, pernah meluahkan rasa tersinggung dengan komen yang diberikan oleh Ramli sehingga membuatkan dia mahu mengambil keputusan menarik diri daripada program berkenaan.

Klik untuk gambar besar



Berkongsi pengalaman mengacarakan program untuk musim ini, Elly mengakui bimbang menerima komen balas penonton. Bagaimanapun, Elly berusaha melakukan tugas tersebut dengan baik kerana kerjaya ini merupakan salah sumber pendapatan buatnya.

"Syukur kalau ada yang suka. Apa yang paling dirisaukan ialah penerimaan orang. Walau bagaimanapun bila diberikan tanggungjawab, saya cuba untuk berikan yang terbaik.

"Sebab itu pun periuk nasi kita. Macam kita dalam sebuah kelaslah. Kalau nak dapat nombor satu, kita kenalah buat homework lebih dan sebagainya," ujarnya.

Untuk makluman, Jihan Muse kini sedang dalam tempoh berpantang selepas bersalin anak kedua pada awal September lalu. Justeru itu, Elly dipilih sebagai pengganti, disamping bergandingan dengan Nabil Ahmad.


Mengakui gandingan Nabil dan Jihan sangat baik sepanjang lapan musim sebelum ini, Elly bagaimanapun berkata dia tidak mahu terikat dengan cara penyampaian sama dan mahu tampil dengan gaya tersendiri.

"Memanglah saya rasa gementar sehingga rasa nak pitam. Kita semua sudah tahu bagaimana Jihan dan Nabil sebelum ini cukup serasi sebagai pengacara program ini. Saya akan kendalikan GV9 mengikut cara sendiri selain kemahuan program ini.

"Kita sedia tahu progres GV dari musim pertama hingga kelapan. Saya anggap amanah itu sebagai sesuatu yang berat sebenarnya terutama apabila memikirkan untuk mengekalkan momentum GV itu sendiri," tuturnya.

Sementara itu, menerusi ruangan komen di media sosial, rata-rata penonton memberikan respon positif dan suka dengan cara pengacaraan Elly. Malah, ada yang berpendapat gandingan Elly bersama Nabil dilihat serasi walaupun baru sahaja minggu pertama bersiaran.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: