"Sejak berpisah dengan bekas suami, kami beraya bersama. Saya tidak mahu anak-anak rasa kekurangan. Saya tiada kampung, jadi, saya berkumpul di rumah bekas adik ipar di Alam Impian.
"Itulah menjadi tempat kami berkumpul setiap kali raya. Walaupun sudah bercerai, tetapi hubungan kami masih baik. Mereka menyantuni saya dengan baik, tiada istilah bekas ipar sebab itulah kami masih boleh beraya bersama."
Demikian ujar pelakon veteran, Liza Abdullah, 61, dimana masih menjalin ukhuwah bersama bapa kepada anak-anaknya itu, walaupun berpisah dengan bekas suami, Zolkefli Abdul Rahman lebih sedekad lalu.
Kata Liza, setiap kali tibanya Syawal, anak-anak tidak pening kepala memikirkan mahu beraya dengan ibu atau ayah kerana saban tahun, mereka beraya bersama seperti satu keluarga, biarpun tiada lagi ikatan sah sebagai suami isteri.
Dalam pada itu, Liza juga memberitahu, dia membelikan baju raya buat bekas suaminya itu supaya tampil sedondon dengan anak-anak, selain membawa bekas suami jika anak pulang ke rumah mentua di Pulau Pinang.
"Ke mana saya pergi bersama anak-anak, bekas suami akan ikut sama. Ini dibuat agar cucu yang masih kecil dan belum faham merasakan mereka ada datuk dan nenek seperti orang lain.
"Cuma, bekas suami tidak sihat dan berada di hospital, tahun ini. Jadi mungkin anak-anak akan beraya dengan bapa mereka di hospital sahaja.
"Saya sentiasa ingatkan kepada anak-anak supaya menjaga bapa mereka. Lagipun, suami memang tinggal bergilir-gilir di rumah anak pertama dan kedua," katanya yang terkenal dengan watak Mak Leha dalam drama '7 Hari Mencintaiku' itu.
Disamping itu, Liza dalam masa sama turut berkongsi mengenai juadah raya, dimana dia beruntung kerana iparnya adalah pengusaha katering, jadi dia jarang memasak juadah raya, sebaliknya hanya mengisi perut di rumah mereka.
Tambah Pemenang kategori Watak Antagonis Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-34 itu lagi, dia beraya bersama teman baik seperti Anne Abdullah dan Fauziah Sarman, tahun ini.
"Saya bersama teman baik bertemu pada hari raya kedua untuk sambut Aidilfitri bersama. Sebenarnya, sudah banyak tahun kami merancang beraya bersama, namun, selalunya tidak kesampaian.
"Biasalah apabila sudah memerap di rumah, mulalah mal@s hendak keluar. Segala perancangan kononnya nak beraya bersama dan bersiar-siar terus terpadam," tuturnya.
Untuk makluman, Liza bercerai dengan Zolkefli pada 2014 selepas 26 tahun berkongsi hidup. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Zulhaffiz Zarriq, 36; Nurwafiez Syahiddah, 32; Zulsyahmi Naqib, 23, dan Zulsyahmi Afif, 21.
________________________
JOM LAWAT YOUTUBE KAMI (MYPAPARAZZI) :
KLIK DI SINI..!!

No comments:
Post a Comment