04 January 2026

AKIBAT KANSER - HELMI GIMMICK JALANI PEMBEDAHAN BUANG BUAH PINGGANG, ENGGAN BEREHAT SELAGI BOLEH BERGERAK



"Sebenarnya saya sudah menjalani pemeriksaan pada awal September tahun lalu. Saya buat pemeriksaan pengimejan resonans magnet (MRI) dan ujian imbasan sinar X dan doktor pakar mengesahkan saya menghidap kanser buah pinggang.
"Tetapi saya ini degil. Saya ada banyak tawaran kerja yang perlu diselesaikan. Pada fikiran saya, selagi saya boleh bergerak, saya teruskan kerja. Itu yang saya buat, saya teruskan kerjaya menyanyi saya."

Itulah kata pengacara dan penghibur serba boleh, Helmi Gimmick, 65, dimana maklumnya, pada Khamis ini, dia bakal menjalani pembedahan membuang buah pinggang kiri akibat kanser.

Tutur Helmi atau nama sebenarnya, Helmi Harun, dia memilih untuk menangguhkan rawatan kerana kekangan jadual seni, meskipun kanser buah pinggang itu sebenarnya sudah diketahui sejak September tahun lalu selepas menjalani pemeriksaan kesihatan.

Tambahnya lagi, ketika membuat persembahan di acara Malam Legenda Karyawan, Disember lalu, keadaannya bertambah serius apabila dia mengalami kencing berdar@h.

"Ketika itu darah keluar dari saluran kencing, tetapi saya teruskan juga persembahan. Selepas selesai, saya tidak dapat membuang air kecil. Disebabkan keadaan itu, isteri membawa saya ke hospital berdekatan untuk pemeriksaan lanjut," jelasnya.

Selepas penyakitnya disahkan berada pada tahap kritikal, Helmi yang sudah lebih 30 tahun berkecimpung dalam bidang seni, menjelaskan, pembedahan itu perlu dilakukan segera, selain rawatan awal bagi menghentikan pendar@han.

"Doktor beritahu keadaan ini sudah kritikal dan bukan sekadar pemeriksaan biasa. Saya perlu dibedah kerana pendar@han berlaku. Akhirnya, doktor dari Hospital Tawakal merujuk saya ke Hospital Universiti Putra Malaysia (Hospital Sultan Abdul Aziz Shah).

"Saya dimasukkan ke hospital sejak 29 Disember lalu dan dijadual menjalani pembedahan membuang buah pinggang kiri pada Khamis ini," katanya yang dinasihatkan supaya berehat sekurang-kurangnya tiga bulan selepas pembedahan dan menghentikan sebarang aktiviti persembahan buat sementara waktu.

Dalam pada itu, Helmi yang kini reda dengan ketentuan dan mahu memberikan sepenuh fokus kepada rawatan serta proses pemulihan, mengakui, sukar memperlahankan rentak kerjayanya, malah anak-anaknya turut menasihati agar dia mengutamakan kesihatan.

"Mereka minta saya berhenti menjawab panggilan telefon dan memaklumkan kepada semua bahawa saya perlu berehat mengikut arahan doktor," tutur bapa kepada empat anak itu.

Disamping itu, Helmi turut merakamkan penghargaan kepada pihak yang tampil memberikan sokongan moral, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menghulurkan bantuan menerusi kunjungan Setiausaha Politiknya, Datuk Azman Abidin.

Selain itu, Helmi yang fasih bertutur dalam beberapa bahasa termasuk bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin, Tamil, Indonesia serta sedikit bahasa Perancis itu memberitahu, dia masih aktif memenuhi undangan mengacara majlis makan malam sehingga kini.

Untuk info, nama Helmi Gimmick pernah popular pada awal era 2000-an dan antara program televisyen yang pernah dihoskannya ialah Famili Ceria di ntv7.

Selain itu, Helmi juga pernah tampil dengan album solo berjudul Tongkat Ali serta berkhidmat sebagai penyampai radio di Time Highway Radio (THR), kini dikenali sebagai Gegar.

         ________________________

JOM LAWAT YOUTUBE KAMI (MYPAPARAZZI) :
KLIK DI SINI..!!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: