17 March 2008

FAIZAL MASIH TAK DAPAT RUMAH

Setelah dua tahun Akademi Fantasia berlalu dan kini sudah masuk tahun yang ke enam pula, Juara AF musim ke-4 Faizal, 23, masih belum mendapat kunci rumahnya seperti yang dijanjikan sebagai hadiah sang juara. Entah apa yang berlaku, penyanyi yang berasal dari Terengganu itu sendiri tidak tahu dan dia masih mengharap agar hadiah tersebut dicepatkan.

"Memang saya mengidam untuk mempunyai rumah sendiri, tetapi hadiah yang dijanjikan masih belum dapat lagi. Agaknya mereka tengah berusaha keras, atau mereka ada masalah dalaman yang tidak dapat dielakkan... saya sendiri pun tak tahu," demikian luah Faizal sambil tersenyum.

Umum memang sedia maklum hadiah bagi juara bernilai RM371,435, iaitu sebuah kondominium, sebuah kereta Toyota VIOS dan sebuah trofi Akademi Fantasia. Meskipun hadiah yang lain sudah diterimanya, namun bayangan rumah masih samar-samar sekaligus menimbulkan tandatanya apakah hadiah itu masih ada?

Bagaimanapun bila ditanya apakah perasaannya bila seakan mendapat janji kosong semata-mata, kata Faizal atau nama sebenarnya Mohammad Faizal Ramly, dia sebenarnya seorang yang tabah dan tak mudah melenting. Baginya, kesabaran itu adalah kunci kejayaan dan dia pasrah dengan suratan takdir jika itu yang sudah tertulis dalam hidupnya.

"Nak buat apa bising-bising, kalau dapat... dapatlah! Saya sebenarnya lebih suka mendiamkan diri," ujarnya.

Menjawab soalan lain, katanya dia masih menyimpan cita-cita untuk berjaya seperti Allahyarham Sudirman Haji Arshad. Biarpun ada segelintir pihak yang mungkin mengatakan 'jauh api dari panggang', namun Faizal tetap akan mencuba mencapai apa yang pernah dicapai oleh idolanya itu.

"Dengan impian tersebut, saya jadi kuat dan bersemangat untuk berjuang dalam bidang seni. Sebab itulah saya tak kisah bersengkang mata mempromosikan album saya baik di Terengganu, Kuala Lumpur mahupun di negeri-negeri lain seluruh Malaysia.

"Malah kesusahan saya di masa lampau di mana saya pernah tidur di surau, kerja bawa lori, buat jalan tar, menjadi tukang mas dan sebagainya menjadi sempadan agar saya tidak lupa diri," ujarnya yang enggan menceritakan lebih lanjut mengenai pengalaman tersebut.

"Biarlah saya seorang sahaja yang tahu. Kalau cerita pada orang pun bukan dapat apa," tambahnya.





.
.
Photo & berita copyright myartis 2008
.

No comments: