10 March 2008

SENARAI 25 ORANG CALON PELAJAR AF6


Kuala Lumpur, 10 Mac 2008:

ASTRO, melalui program Akademi Fantasia sekali Iagi memberikan kejutan dengan pengumuman 25 orang calon-calon pelajar musim keenam program realiti TV pencarian bakat terunggul di Malaysia, petang tadi. Berlainan dengan tahun-tahun sebelumnya, senarai akhir pelajar-pelajar yang bakal menghuni Akademi akan diumumkan melalui program Tirai Akademi Fantasia Episod 3 pada Ahad, 16 Mac, 8.30 malam di Astro RIA (Saluran 104 Astro) dan Astro @15 (Saluran 109 Astro).

Photobucket

Menurut Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn Bhd, Encik Zainir Aminullah, "Saya bagi pihak Astro berasa amat bersyukur kerana permulaan fenomena Akademi Fantasia musim keenam ini mendapat penerimaan yang positif serta sokongan yang amat menggalakkan daripada semua pihak. 24 orang calon-calon pelajar telah dipilih di antara yang terbaik daripada lebih 6,000 penyertaan di lima buah lokasi sesi ujibakat, sekaligus merupakan rekod penyertaan paling tinggi berbanding musim-musim lalu. Manakala seorang Iagi calon pelajar dipilih melalui sesi ujibakat 'wildcard', dengan kerjasama rakan Radio Rasmi ERA. Sesi ujibakat ini turut mendapat sambutan hangat dengan beribu-ribu panggilan masuk walaupun untuk jangkamasa satu minggu sahaja."

Photobucket

"Seorang nenek kepada 2 orang cucu, kakak kepada penghibur tanahair dan seorang pemain angklung bertaraf dunia adalah antara calon-calon pelajar Akademi Fantasia musim ini. Walaupun mereka datang dari pelbagai latarbelakang, berbeza usia, identiti, status dan perwatakan; masing-masing tetap menanam azam dan impian yang serupa iaitu untuk menjadi penghibur yang dekat di hati anda. Kami di Astro berasa amat teruja kerana dapat memberikan peluang kepada mereka untuk mengubah impian menjadi realiti, di samping melahirkan pelapis-pelapis industri seni tanahair," tambah Zainir lagi.

Akademi Fantasia akan mula disiarkan di kaca televisyen Malaysia dan Brunei melalui program pengenalan, Tirai Akademi Fantasia episod 1 pada 15 Mac 2008, 8.30 malam. Tirai Akademi Fantasia episod 2 akan disiarkan pada 15 Mac 2008, 9.30 malam dan episod 3 pula pada 16 Mac, 8.30 malam. Rutin seharian para pelajar menjalani kehidupan di Akademi dapat dilihat melalui dua liputan harian Diari Akademi Fantasia mulai 17 Mac 2008, Isnin hingga Jumaat, pada pukuf 6.00 petang dan 11.00 malam. Konsert Akademi Fantasia akan bersiaran langsung dari Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya mulai 22 Mac 2008, setiap Sabtu, 9.00 malam. Sebuah program baru Radar Akademi Fantasia akan menemui penonton mulai 23 Mac, setiap Ahad, 9.00 malam.

Photobucket

Pada majlis yang sama Astro turut mengumumkan dua orang Pengkritik Tetap yang akan menilai perkembangan persembahan mingguan para pelajar sepanjang tempoh pengajian. Mereka terdiri daripada pelakon dan pengacara Fauziah Dato' Ahmad Daud dan penyanyi soprano negara, Ning Baizura. Sebelum ini, Akademi Fantasia telah membuka tirai musim keenam dengan pelbagai penambahan elemen-elemen baru termasuk lanjutan usia penyertaan ke 45 tahun; dua orang hos baru menggantikan Aznil Hj Nawawi, 3 orang Guru Vokal dan sesi ujibakat 'wildcard'melalui corong radio ERA.

Para pelajar akan menerima bimbingan dan latihan daripada tenaga pengajar profesional yang diketuai oleh Ramli MS, yang mempunyai 32 tahun pengalaman profesional dalam arena muzik terutama sekali sebagai komposer dan penulis lagu. Beliau akan dibantu oleh barisan tenga pengajar yang terdiri daripada Anita Sarawak (Perunding Persembahan Pentas), Siti Hajar Ismail (Guru Vokal Teknikal), Syafizawati Sharif (Guru Vokal Persembahan), Genervie Kam (Guru Vokal/Muzik), Linda Jasmine (Guru Koreografi), Fauziah Nawi (Guru Seni Persembahan), Fatimah Abu Bakar (Perunding Motivasi dan Guru Bahasa Inggeris) dan Jasmi Rejab (Perunding Fesyen).

Calon-calon pelajar wanita terdiri daripada AYU (Farah Rahayu binti Yahya, 26, Melaka), IKA (Ika Nabila binti Abdul Rahim, 19, Pulau Pinang), IRSA (Irsa binti Sahabuddin, 22, Kota Kinabalu, Sabah), LUFYA (Lutfyah binti Sheikh Omar, 23, Johor Bahru), NADIA (Nadia Haswani binti Hasnan, 18, Kuala Lumpur), RINA (Hairina binti Abd Halim, 44, Selangor), SAIDA (Siti Norsaida binti Tarudin, 32, Kuala Lipis, Pahang), SERI (Farah Nabilla Noor binti Anuar, 23, Negeri Sembilan), SOFEA (Farah Sofea binti Mohammad Yusoff, 19, Kota Bharu, Kelantan), STACY (Stracie Angie Anam, 18, Kota Kinabalu, Sabah), YANA (Marliyana binti Omar Walid, 24, Kuala Kangsar, Perak), WANA (Noriezuana binti Syed Shafudin, 22 Johor Bahru). Manakala calon pelajar Wildcard' ialah IDA (Siti Nurul Idayu binti Basir, 21, Negeri Sembilan).

Calon-calon pelajar lelaki pula terdiri daripada ALIF (Mohamad Aliff bin Mohd. Razali, 22, Pulau Pinang), AZHAR (Azharudin bin Ramli, 25, Kuala Lumpur), EJAM (Sharul Nizam bin Mohd. Piah, 30, Pulau Pinang), FAISAL (Muhammad Faisal bin Abdullah, 21, Kuala Lumpur), HANAFI (Mohd Hanafiah bin Mamat, 22, Melaka), MARUL (Kamarul Zaman bin Kaha, 34, Kuching, Sarawak), NAZIB (Ahmad Nazib bin Zaidi, 27, Sibu, Sarawak), NAIM (Muhammad Shauqi Naaim bin Salmi, 20, Gerik, Perak), NUBHAN (Ahmad Nubhan bin Ahamad, 22, Kuala Pilah, Negeri Sembilan), RIZ (Mohammed Idris bin Mohd Zaizizi, 22 Gerik, Perak), STANLY (Stanley Maringai David Impi, 25, Kuching, Sarawak) dan TOI (Khairul Nizam bin Baharom, 31, Johor Bahru, Johor).

"Kesemua calon-calon pelajar ini akan menjalani pelbagai sesi orientasi, kelas dan akan diuji selama 3 hari. Mereka kemudiannya akan dinilai sama ada layak untuk ke peringkat seterusnya iaitu menjadi pelajar-pelajar Akademi Fantasia. Keputusan senarai akhir pelajar-pelajar akan diumumkan melalui program Tirai Akademi Fantasia Episod 3 yang akan disiarkan pada Ahad, 16 Mac pada pukul 8.30 malam," terang Zainir.

Format undian penonton di rumah melalui SMS masih lagi menjadi medium utama dalam menentukan nasib para pelajar. Di samping itu, Astro turut mengekalkan format undian melalui butang *R" yang terdapat di alat kawalan jauh Astro dan melalui talian tetap. Selain itu, Astro juga turut menawarkan pelbagai perkhidmatan-perkhidmatan interaktif sepanjang musim ini.

Musim keenam ini, hadiah-hadiah yang cukup lumayan bakal menjadi ganjaran buat pelajar-pelajar Akademi Fantasia. Juara bakal meraih hadiah berjumlah lebih RM700,000 yang terdiri daripada sebuah banglo empat bilik di Afamosa Melaka, kereta Peugeot 307X tajaan Naza Motors Sdn Bhd, wang tunai RM25,000 sumbangan Hotlink, pakej percutian ke Afrika Selatan tajaan Mayfirst, pakej pelancongan ke New York tajaan Maybelline, Sony PlayStation dan Iain-Iain barangan. Naib juara akan menerima pelbagai hadiah berjumlah hampir RM100,000 manakala Tempat Ketiga turut berpeluang memenangi pelbagai hadiah berjumlah lebih RM 20,000.

Sekali lagi, sebagai penaja utama Akademi Fantasia Musim ke - 6, Hotlink memberi peluang kepada peminat AF untuk mendekati idola mereka secara eksklusif terus dari telefon bimbit. Terdapat pelbagai muat turun eksklusif untuk pelanggan Hotlink. Terdapat juga pelbagai ganjaran dan pengalaman hebat yang diberikan oleh Hotlink musim ini untuk pelanggan mereka seperti tiket konsert mingguan dan Ramah Mesra Eksklusif.

ERA sebagai Radio Rasmi akan memainkan peranan dalam mempromosikan kesemua pelajar Akademi Fantasia musim keenam. Selain temubual migguan eksklusif bersama barisan tenaga pengajar dan pelajar-pelajar yang tersingkir; dan laporan harian terkini; ERA bakal menyiarkan klip audio eksklusif dari Akademi, mengadakan liputan lintas langsung dari lokasi Sidang Akhbar serta mewawancara peserta-peserta Konsert Prelude Akademi Fantasia di mana visual mereka boleh ditonton menerusi laman web Akademi Fantasia dan ERA. Di samping itu, pelajar-pelajar yang telah tersingkir juga bakal muncul selaku penyampai radio jemputan.
.

Photo copyright myartis 2008

.