25 March 2008

TIGA PROGRAM BARU DI ASTRO


Citra Manusia

Mulai 24 April 2008, Setiap Khamis, 9.00 malam di Astro PRIMA (Saluran 105 Astro)
Program selama satu jam ini akan diacarakan oleh pelakon dan aktivis seni terkenal tanahair, Jalil Hamid. Matlamat program ini adalah untuk memberi kesedaran kepada penonton bahawa nilai positif dalam diri perlu ada bagi memastikan masyarakat sentiasa hidup dalam keadaan yang seimbang.

Ia sekaligus memaparkan kisah manusia dan juga wira tidak bernama (unsung hero) yang memberi banyak sumbangan kepada orang yang memerlukan. Sebagai contoh, sekiranya sesebuah keluarga itu hidup dalam keadaan yang daif, siapa yang menjadi tulang belakang kepada keluarga ini? Siapa pula yang menjadi wira mereka yang kelak akan datang membantu bagi membolehkan mereka keluar dari kesengsaraan itu.

Cerita Artis Malaysia (CAM)
Mulai 7 April 2008, setiap Isnin, 6.30 petang di Astro RIA (Saluran 104 Astro)
Program 13 episod ini memaparkan kisah sebenar di sebalik dunia glamor industri hiburan tempatan dengan pendekatan yang lebih mempesonakan. Selain itu, ia juga menerokai kisah hitam dan putih seseorang artis yang dipilih agar peminat dapat mengenali mereka dalam ruang
lingkup yang lebih luas.

Konsep ini adalah untuk memberikan penjelasan keseluruhan secara mendalam akan hasil seni
selebriti Malaysia dan menjadikannya sebagai satu bukti kukuh akan kejayaan seorang artis itu
serta jerit perih perjalanan mereka mengharungi kehidupan dan industri hiburan.
CAM juga akan mendedahkan kisah bagaimana bermulanya perjalanan hidup seseorang artis, jatuh dan bangunnya, fakta yang tidak di ketahui mengenai dirinya dan apa yang mereka lalui
sepanjang bergelar anak seni termasuk NOORKUMALASARI, AWIE, AMY SEARCH, AZNIL HJ. NAWAWI, FAUZIAH DATO' AHMAD DAUD (AMN) dan DATO' SITI NURHALIZA TARUDDIN

Mistik (Musim 2)
Mulai 6 April, Setiap Ahad, 7.30 malam di Astro PRIMA (Saluran 105 Astro)
Program yang dihoskan oleh Khalid Salleh ini akan mendedahkan kepada para penonton mengenai jenis-jenis dan juga kaedah perubatan Islam dan alternatif di era moden kini. la untuk mengelakkan orang ramai dari terjebak dengan kaedah perubatan yang salah di sisi agama di samping memberikan informasi untuk penonton melindungi diri daripada terkena dengan ilmu hitam.

Musim baru ini juga akan memberikan tips mengenai bagaimana mencari orang hilang dan memulihkan mereka yang terkena histeria. Sekaligus membolehkan penonton membezakan antara penyakit yang disebabkan oleh makhluk halus dan penyakit sebenar yang diklasifikasikan oleh pakar perubatan. Program 52 episod ini menjadikan dunia perubatan Islam sebagai fokus dalam setiap segmen, selain daripada perubatan alternatif seperti dunia perubatan Orang Asli dan agama lain seperti Buddha dan Hindu juga menjadi fokus. Justeru, perubatan Islam akan diberi fokus sebanyak 70% manakala selebihnya adalah perubatan alternatif.





VIDEO:


.
.
Gambar dan video hakcipta myartis 2008
.
.

No comments: