30 April 2008

TELEMOVIE DEMI MASA SERIKAN HARI IBU


Petaling Jaya, 30 April 2008
- Seorang ibu sanggup mengorbankan segalanya demi seorang anak. Asalkan anaknya itu mengecapi kejayaan pada masa depan sudah memadai walaupun jasanya langsung tidak dikenang mahupun dibalas dengan layanan yang kejam. Itulah plot telemovie yang akan mengisi slot Cerekarama pada 10 Mei 2008 nanti, 'Demi Masa' yang akan ditayangkan pada hari Sabtu, jam 10 malam di TV3.

Kombinasi kerjasama sutradara Azman Hj Yahya (Jinngo) dan penulis skrip Nazli Jaafar(Che Li) telah membuahkan hasil apabila meraih kejayaan di Anugerah Skrin 2007 yang lalu melalui drama 'Sebuah Ijtihad'. Kini, mereka sekali lagi bekerjasama menjayakan telemovie Demi Masa yang pastinya bakal membawakan impak yang lebih hebat. Dibarisi pelakon-pelakon hebat seperti Sheila Rusly, Syafie Naswip, Iqram Dinzly, Fizz Fairuz, Aida Razwill, Rozie Rashid, Emelda Rosmila dan Radhi Khalid.

"Ketika pihak JS Pictures mencadangkan telemovie ini ditayangkan untuk Hari Ibu pihak kami tertarik dengan jalan ceritanya serta barisan pelakon yang akan menjayakannya. Demi Masa yang diadaptasi dari sebuah syair Arab ini sangat memilukan dan pastinya akan menyedarkan kita supaya lebih menghargai pengorbanan yang telah dicurahkan oleh insan bernama ibu. TV3 sentiasa memilih drama-drama terbaru untuk mewarnat slot Cerekarama dan ianya mampu mencecah 3 juta penonton setiap kali tayangannya," kata Pengurus Besar Mass Market Kumpulan Pengurusan Jenama TV3, Sherina Mohamed Nordin.

Kisah Demi Masa bermula dengan kehidupan sebuah keluarga bahagia, namun ia hanya sementara apabila mereka ditimpa kemalangan jalan raya yang meragut nyawa si suami (Rashid) yang juga ayah kepada seorang anak dan mengakibatkan isteri (Maryam) serta anaknya {Nazli) cedera. Sheila Rusly sebagai Maryam terpaksa memikul tanggungjawab suaminya menyara keluarga dengan bekerja sebagai pembantu kantin di sebuah sekolah menengah.

Sikap Nazli (watak Nazli ketika kecil - Syafie Naswip) berubah selepas kejadian tersebut. Dia menjadi semakin biadap dan sukar dikawal. Maryam tetap berlembut melihat sikap Nazli, pun begitu pencapaian akademik dan kokurikulum Nazli di sekolah amat cemerlang. Pada perspektif

Nazli sendiri, dia sebenarnya malu terhadap kawan-kawannya kerana keadaan ibunya yang buta sebelah mata.Suatu hari berlaku perlengkaran antara Nazli dan rakannya di sekolah kerana menjadikan subjek ibunya yang buta sebagai bahan tawa. Nazli tercedera. Maryam yang mendengar cerita itu bergegas bertanyakan khabar Nazli di kelasnya. Jelas kini satu kelas telah mengetahui bahawa Maryam ialah ibu kepada Nazli.Semenjak itu, Nazli berusaha bersungguh-sungguh untuk melepaskan dirinya dari dibelenggu hidup bersama Maryam.

Masa berlalu, Nazli (watak Nazli ketika dewasa - Iqram Dinzly) kini seorang siswazah dan hanya akan menghubugi Maryam apabila dia terlalu memerlukan wang. Di sana dia bertemu dan berkahwin dengan Fatin (Emelda Rosmila).

Pada suatu hari, di dalam majalah keusahawanan, Maryam melihat Nazli di muka hadapan majalah itu, Maryam sangat gembira dan ingin sangat berkunjung ke rumah anak kebanggaannya itu. Maryam muncul di hadapan rumah Nazli. Namun, Nazli yang marah telah menarik keluar Maryam dalam diam dan memarahi Maryam kerana menakutkan-nakutkan anak dan isterinya. Maryam yang amat menyayangi anaknya itu meminta maaf kepada mereka dan mengatakan dia tersilap alamat dan salah orang. Maryam berlalu dengan redha walaupun kecewa namun dia tidak marah. Nikmat dapat menatap wajah Nazli walau sementara amat disyukurinya. Rindunya terubat.

Suatu hari, Nazli tergerak hati untuk singgah sebentar di rumah lamanya untuk berjumpa dengan ibunya. Sebaik sahaja sampai di rumah, rumah itu lenggang. Kemudian, Nazli didatangi rakan baik ibunya bernama Chah (Rozie Rashid) yang memberitahu ibunya sudah meninggal dunia. Malah anak Chah juga telah menghulurkan sepucuk surat dan memberitahu penderitaan ibunya.

Apakah rahsia yang terkandung di dala surat itu? Apakah kesedaran hari ini mampu menutup kesilapan semalam? Pastikan anda menonton Demi Masa kerana ia akan menjadikan Hari Ibu anda lebih bererti.


GAMBAR-GAMBAR:



KLIK UNTUK MELIHAT GAMBAR SETERUSNYA..!!


VIDEO KLIP PRATONTON & SIDANG AKHBAR:




TONTON DALAM YOUTUBE: KLIK DI SINI..!!
.
.
Photo & Video Copyright myartis 2008
.
.

No comments: