19 March 2009

INFO SEMASA

PENYERTAAN FFM22 KK 2009 DIBUKA

Hulu Kelang – Festival Filem Malaysia ke-22 Kota Kinabalu 2009 (FFM22 KK 2009) akan diadakan pada 5 hingga 8 Ogos 2009 di Kota Kinabalu, Sabah. FFM22 KK 2009 adalah anjuran bersama FINAS, Persatuan Pengeluar-Pengeluar Filem Malaysia (PFM) dan Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (GAFIM) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sabah menerusi Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah.

Tema FFM-22 KK 2009 ialah “FILEM MALAYSIA KE PERSADA DUNIA ”. Tema ini berhasrat membawa perhatian warga industri menumpukan perhatian terhadap meningkatkan kemahiran terhadap hasil kerja mereka agar filem yang diterbitkan kelak akan mencapai mutu penerbitan antarabangsa.

Objektifnya pula adalah untuk mengiktiraf karyawan dan karya filem yang dinilai terbaik bagi menggalakkan pembangunan industri perfileman Malaysia di samping terus memasyarakatkan filem serta mendedahkan dan mempromosikan filem-filem tempatan ke peringkat antarabangsa.

Penyertaan bagi Festival Filem Malaysia ke-22 Kota Kinabalu 2009 (FFM22 KK 2009) kini dibuka kepada semua penerbit filem tempatan serta individu-individu yang layak.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Penyertaan dan Penjurian FFM22 KK 2009, Puan Nancie Foo, borang-borang penyertaan bagi semua kategori boleh didapati di laman web www.sinemamalaysia.com.my dan www.pfm.org.my. Tarikh tutup penyertaan bagi semua kategori ialah pada 5 Julai 2009.

Bagi kategori bukan filem cereka (Filem Dokumentari, Pendek, Animasi) selalunya mendapat sambutan penyertaan yang kurang menggalakkan. Sehubungan itu, jawatankuasa ini menyeru semua pihak termasuk IPT Awam dan Swasta serta syarikat-syarikat pengiklanan untuk mengambil bahagian di dalam FFM22 KK 2009 yang julung kali diadakan di negeri bawah bayu.

FFM22 KK 2009 telah mempertaruhkan sebanyak 13 Anugerah Perdana, 12 Anugerah Cipta, termasuk satu anugerah yang baru diperkenalkan iaitu Filem Komedi Terbaik dan 5 Anugerah Khas Juri. FFM22 KK 2009 turut mengiktiraf pencapaian dan sumbangan karyawan filem veteran menerusi Anugerah Veteran (Lelaki dan Wanita), Anugerah Veteran (Belakang Tabir-Lelaki atau Wanita) serta Anugerah Filem Box-Office.

Antara kategori-kategori dalam Anugerah Perdana ialah:

1. Filem Terbaik
2. Pengarah Filem Terbaik
3. Pelakon Lelaki Terbaik
4. Pelakon Wanita Terbaik
5. Lakon Layar Terbaik
6. Cerita Asal Terbaik
7. Sinematografi Terbaik
8. Penyunting Terbaik
9. Skor Muzik Asal Terbaik
10. Filem Dokumentari Terbaik
11. Filem Animasi Terbaik
12. Filem Pendek Terbaik
13. Filem Digital Terbaik

Manakala untuk Anugerah Cipta pula ialah:

1. Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik
2. Pelakon Pembantu Wanita Terbaik
3. Penataan Seni Terbaik
4. Penataan Bunyi Terbaik
5. Pelakon Kanak-Kanak Terbaik
6. Pengarah Harapan Terbaik
7. Pelakon Harapan Lelaki
8. Pelakon Harapan Wanita
9. Lagu Tema Asal Terbaik
10. Pereka Kostum / Busana
11. Poster Terbaik
12. Filem Komedi Terbaik


Arikel ini disediakan oleh FINAS

No comments: