19 August 2011

ISTERI KEGUGURAN, FEDTRI TERUS BERSEDIH...

Hati mana yang tidak pilu bila isteri tercinta mengalami keguguran? Tambahan pula, anak yang dikandung itu merupakan anak pertama hasil perkahwinan mereka.

Kesedihan inilah yang tidak dapat dibendung oleh Fedtri Yahya, 30, Pengacara Malaysia Hari ini di TV3 yang menerima berita sedih itu daripada isterinya Nurul Anati Ismail, 26, pada 26 Julai lalu sebaik mereka berdua pulang berbulan madu dari Korea.

“Sebelum pergi berbulan madu kami sudah membuat pemeriksaan doktor terlebih dahulu, namun tiada apa-apa tanda positif yang dia mengandung.

“Setelah beberapa hari pulang kami buat pemeriksaan sendiri dan keputusannya positif, namun beberapa hari selepas itu berlaku pendarahan yang menyebabkan keguguran,” ujar Fedtri dipetik sebagai berkata.

“Siapa tak sedih, semasa mendapat tahu isteri mengandung, saya paling teruja namun saya faham bukan rezeki saya untuk menimang cahaya mata.

“Apa yang penting isteri saya selamat dan saya faham perasaan dia selepas keguguran lebih sedih berbanding saya.

“Saya tidak cuti tapi saya kerap pulang ke rumah untuk menjenguk dan masak untuk dia.

“Itu juga pengalaman yang sangat berharga kerana sebelum ini saya hanya jaga diri sendiri tetapi kini ada tanggungjawab menjaga orang lain pula.

“Kehidupan saya hanya di pejabat dan rumah, jika tiada kerja saya duduk saja di rumah. Isteri saya seorang yang rajin memasak dan saya pula pemakan,” tambahnyanya yang telah melangsungkan perkahwinan pada 28 Mei lalu di rumah pengantin perempuan di Pengkalan Machang, Pasir Mas, Kelantan.





.

No comments: