08 September 2011

BUKAN BALAS DENDAM - AZAD

Tiada kena mengena dengan Faezah Elai!

Demikian ditegaskan oleh Pelakon Azad Jasmin, 35, yang bakal bernikah dengan Eira Syazira pada 16 September ini. Malah Azad juga berkata, tiada motif untuk membalas dendam pada bekas kekasihnya itu berdasarkan pernikahan Faezah dan pengarah drama Heykal Hanafiah yang lebih awal iaitu esok di Pulau Pinang.

"Tarikh pernikahan saya dengan Eira telah ditetapkan oleh pihak keluarga perempuan yang secara kebetulan berlangsung dalam bulan yang sama dengan pernikahan Faezah Elai.

"Pernikahan saya tidak ada kena mengena dengan dia (Faezah). Sial tarikh dan hal-hal perkahwinan telah kami serahkan kepada keluarga untuk tentukan kerana mereka lebih tahu mengenai urusan nikah kahwin," katanya dipetik sebagai berkata.

Kontroversi melibatkan Azad dan Faezah menjadi hangat apabila mereka didakwa mempunyai hubungan cinta. Lebih hangat, Azad didakwa telah menyebarkan gosip cinta antara Faezah dengan Heykal hingga menjadi kes mahkamah yang masih dibicarakan.

Menjawab soalan mungkinkah pertikaian antaranya dan Faezah akan selesai selepas mereka berdua mendirikan rumahtangga nanti, Azad bagaimanapun enggan mengulas sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada peguamnya untuk mencari jalan terbaik.

"Saya tidak mahu memberi sebarang ulasan mengenai perkara itu kerana peguam telah mengarahkan saya untuk berdiam diri bagi mengelakkan masalah lain timbul," ujarnya.

Difahamkam, Azad tidak menjemput Faezah ke majlis perkahwinannya nanti kerana masih kecewa dengan kontroversi yang melanda. Alasan lain ialah dia tidak nampak apa keperluannya dan Eira untuk menjemput Faezah ke majlis perkahwinan tersebut.




No comments: