Ini khabar yang baru diterima, menurut rakan terdekat penyanyi Marsha Milan Londoh, 28, iaitu Afeeq Abdul Wahab, 25, katanya bekas pelajar Akademi Fantasia 3 (AF3) itu tidak mengambil pil secara berlebihan sebagaimana yang didakwa sebaliknya trauma akibat kemalangan yang berlaku.
"Marsha dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada pagi Rabu, setelah didapati rebah di kawasan kondominium yang didiaminya di Jalan Klang Lama dekat sini selepas insiden berkenaan.
"Saya masih belum mendapatkan penjelasan yang sebenar daripada Marsha sendiri tetapi difahamkan sebelum dia rebah, dia telah keluar membeli makanan berdekatan dengan kawasan kediamannya dan telah mengalami kemalangan kecil sehingga menyebabkan dahi serta matanya mempunyai kesan lebam dan luka.
"Marsha masih boleh memandu pulang ke rumah seperti biasa. Bagaimanapun, selepas meletakkan keretanya di kawasan parkir, dia pengsan ketika berjalan kaki ke rumahnya.
"Memandangkan Marsha mengalami masalah penyakit tekanan darah rendah, dia mungkin trauma dengan kemalangan yang ditimpa sehingga membuatkan dia rebah," katanya dipetik sebagai berkata.
Afeeq turut menafikan tindakan Marsha yang kononnya mahu membunuh diri dan laporan yang disiarkan oleh akhbar.
"Laporan yang dikeluarkan mengenai Marsha ternyata salah kerana dia bukannya jenis yang emosional sehingga ingin membunuh diri.
"Saya telah bertemu Marsha pagi tadi (Khamis) dan doktor meminta Marsha untuk berehat sebaik yang mungkin.
"Selepas dia sembuh daripada traumanya itu, dia akan membuat sidang media bagi menjelaskan isu tersebut," ujarnya lagi.
No comments:
Post a Comment