29 September 2011

TAK HADIR ESOK - NABIL HORMATI KEPUTUSAN IRMA


"Saya menghormati keputusan Irma Hasmie," ujar pelawak dan pelakon Nabil atau nama sebenarnya Ahmad Nabil Ahmad, 28, mengulas mengenai kenyataan bekas kekasihnya itu yang tidak akan hadir ke majlis perkahwinannya esok (Jumaat).

"Sudah tentu saya menjemput dia sebagai seorang kawan tetapi seperti yang dinyatakan baru-baru ini dia tidak akan menghadiri perkahwinan saya kerana menghormati saya dan bakal isteri. Saya menghormati keputusannya itu," ujar Nabil dipetik sebagai berkata.




Selanjutnya ketika ditanya mengenai popularitinya yang kemungkinan akan tenggelam selepas mendirikan rumah tangga dengan Nazirah Ayub, jawab Nabil dia hanya berserah pada Allah.

"Perkahwinan adalah sesuatu yang dituntut oleh agama jadi kenapa saya perlu risau tentang populariti kerana saya percaya dengan perkahwinan, ia adalah satu keberkatan untuk saya dan bakal isteri.

"Jika ingin memikirkan mengenai rezeki, kalau tidak berkahwin pun kalau Allah nak tutup rezeki kita dia akan tutup. Sekiranya itu terjadi maka saya kena ambil ia sebagai ujian daripada-Nya," ujarnya seperti yang dilaporkan oleh mStar.

Nabil dan Nazirah bakal diijabkabulkan selepas solat Jumaat di Masjid Sultan Mizan, Putrajaya pada esok. Majlis resepsi mereka pula akan diadakan serentak pada 2 Oktober di I-City Shah alam, Selangor dengan konsep 'fairy tale' dan juga persandingan dalam taman.

No comments: