14 October 2011

KES PELACURAN ARTIS: HASLINDA DIPENJARA 10 BULAN


Setelah turun naik mahkamah selama 16 tahun, akhirnya hukuman penjara 10 bulan yang dikenakan terhadap bekas penerbit rancangan televisyen, Haslinda Merican M.A. Merican dan bekas perunding kewangan, Mohd. Amin Jamadi kerana kesalahan menjadi perantara pelacuran melibatkan empat artis wanita, dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan.

Turut dikekalkan oleh panel hakim ialah denda RM5,000 terhadap kedua-duanya selepas rayuan akhir mereka ditolak sebulat suara. Dengan keputusan itu, Haslinda dan Mohd. Amin harus menjalani hukuman penjara serta-merta.

Haslinda dan Mohd Amin didapati bersalah pada 4 Oktober 2000 kerana menjadi perantara pelacuran terhadap empat artis wanita pada 27 Jun 1995 di lobi Hotel Ming Court, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.


Mengikut Seksyen 16(1)(k) Akta Perlindungan Wanita dan Gadis 1973, hukuman yang memperuntukkan adalah hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.

Sebelum ini, myartis pernah membuat liputan kes tersebut pada perbicaraan yang bermula pada 13 November 1995 itu. Malah myartis juga pernah menemubual Haslinda yang ketika itu mula berjinak-jinak dengan  perniagaan jual beli kenderaan baru dan terpakai.

Dengan hukuman 10 bulan penjara itu, kemungkinan Haslinda hanya perlu merengkok di dalam penjara kira-kira 6 bulan lebih sahaja jika berkelakuan baik. Bagaimanapun, hukuman mungkin akan ditambah jika beliau tidak membayar denda atau melanggar peraturan penjara yang telah ditetapkan.


No comments: