07 October 2011

"SAYA TAK PELUK, CIUM" - RAZAK AHMAD


Pelakon Razak Ahmad yang didakwa mengikut Seksyen 29 (1)(a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995, kerana berkhalwat dengan seorang wanita berstatus isteri orang lima tahun lalu menafikan yang dia ada memeluk atau mencium Selamah Sahudin.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu pada pukul 2.15 pagi, 1 April 2006 di sebuah rumah di Apartmen Blok A, Taman Serdang Perdana, dekat Petaling jaya.

Jika sabit kesalahan, Razak boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun. Bagaimanapun, Selamah yang turut menghadapi tuduhan sama telah mengaku salah pada 14 September 2006 dan dihukum denda RM2,850.

Selain itu, Razak juga menafikan tujuannya membuka baju adalah untuk 'bersama' dengan wanita tersebut sebaliknya beliau berkata dia bersinglet kerana sedang mengeringkan peluh.

Pada soalan lain yang diajukan oleh Pegawai Pendakwa dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Shafezan Rusli, Razak menjelaskan dia ke premis berkenaan hanya untuk mengambil baju yang mahu ditaja oleh Selamah untuk program televisyen. Untuk mencuba kesemua baju tersebut, ia mengambil masa selama satu jam setengah.


Berhubung hubungannya dengan Selamah, Razak pada awalnya menyifatkan ia seperti seorang penaja dengan seorang pelakon. Namun apabila ditanya berulangkali oleh Shafezan, Razak akhirnya menukar jawapan dan mengakui bahawa mereka telah berkenalan sejak tahun 1982 iaitu semasa berada di tingkatan tiga di sebuah sekolah.

Razak turut mengakui antaranya dengan Selamah bukanlah mahram dan dia juga tidak menghalang Selamah daripada menutup pintu utama premis terbabit. Tambahnya lagi, itu merupakan kali pertama dia datang ke premis tersebut.

"Saya bergerak dari Pelabuhan Klang (dekat sini) pada pukul 12 malam dan saya banyak menghubungi Selamah bertanyakan arah kerana itu kali pertama saya ke sana," kata Razak dipetik sebagai berkata.

Perbicaraan di hadapan Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad itu akan bersambung pada 10 November depan.



No comments: