22 December 2011

ADLIN DAN CHEF WAN JADI MANGSA ASTRO?


Perang 'budak-budak' antara Adlin Aman Ramli dengan tukang masak selebriti, Datuk Redzuawan Ismail sebenarnya amat memalukan industri seni negara ini. Kerana dengan sikap 'kurang matang' tersebut, maka akan terserlah semua kekurangan dan perangai tidak profesional mereka dimata ramai pihak.

Bukannya isu besar sangat... hanya kerana Adlin dikritik hebat sepanjang program Maharaja Lawak Mega (MLM) berlangsung! Malah sebelum inipun, Adlin juga pernah mengkritik ramai peserta lain contohnya di Akademi Fantasia sampai ada yang terasa hati.

Tiga juri tempatan yang mempunyai 'nama besar'..




Mungkin masalah ini timbul berikutan kredibiliti Chef Wan dipertikaikan dengan dakwaan yang 'tukang masak' itu tidak faham dengan lawak yang dipersembahkan. Atas sebab-sebab itulah maka 'maruah' Adlin terasa tercemar apabila seseorang yang bukan kalangan 'pelawak' dan kurang faham dengan 'seni' menyemburnya habis-habisan!

Aksi Adlin sebagai Sangeetha...


"Dia kritik orang boleh, tetapi tidak boleh pula terima kritikan orang. Karakternya sudah cukup menunjukkan dirinya yang sebenar.

"Sebagai seorang selebriti yang mempunyai pengikut yang ramai, dia perlu menunjukkan persembahan lawak yang positif dan secara amnya tidak membabitkan isu-isu keluarga, agama atau persendakan orang.

"Perlukah kita yang mempunyai adat dan budaya sopan yang tinggi mengikuti pelawak-pelawak Barat yang juga mampu membogelkan diri mereka untuk dijadikan bahan lawak? Pada pendapat saya, mana yang baik, kita ambil, yang buruk pula kita abaikan," bidas Chef Wan mempertahankan dirinya.

Ya... memang betul kata-kata Chef Wan! Jika melibatkan adat budaya kita harus berhati-hati dalam setiap tindakan... namun bagaimana pula dengan gambar Chef wan mencium wanita asing baru-baru ini? Adakah ia adat budaya kita sebagai orang Melayu dan beragama Islam?

Aksi Chef Wan - adakah ini adat kita?


Kesimpulan daripada masalah ini, sebenarnya Adlin dan Chef Wan menjadi mangsa 'keghairahan' Astro dalam mengejar keuntungan. Sepatutnya, Chef Wan tidak dipanggil menjadi juri kerana kebolehan beliau yang cukup tinggi dan profesional ialah bidang masakan... bukan seni persembahan.

Selayaknya Chef Wan menjadi juri Masterchef Malaysia, Zainal Abidin Hassan menjadi juri yang melibatkan sukan dan Siti Nurhaliza menjadi juri program nyanyian.

“Kami tidak mahu menimbulkan sebarang pertikaian yang lebih besar berlaku selepas ini, kerana adalah lebih baik kami memilih golongan selebriti yang bukan datangnya dari kelompok komedi untuk menjadi juri. Siti mewakili bidang nyanyian, Chef Wan bidang masakan dan Zainal Abidin Hassan dari bidang sukan. Pemilihan mereka kerana nama mereka yang cukup besar di rantau Asia,” demikian alasan Pengurus Pakej Mustika, Nizam Sani mengenai pemilihan Chef wan, Zainal dan Siti sebagai juri MLM.

Secara logiknya menurut beliau lagi, adakah patut pelawak Harith Iskandar tampil ke depan untuk memberikan komen kepada Afdlin Shauki yang menjadi kawan baiknya itu? Bahkan, kedua-duanya memang hebat dalam bidang yang sama. Pun begitu, masing-masing ada kelebihan istimewa dan tidak wajar pelawak memberikan komen terhadap pelawak lain.

Itu kata beliau, tapi kata orang lain pula bagaimana? Wajar sangatkah juri 'Academy Awards' diambil dari kalangan 'nama besar' dalam politik... contohnya Presiden Amerika Barack Obama atau mungkin pemain bolasepak popular Cristiano Ronaldo?

Dalam masalah ini, kenapa tidak dipanggil sahaja pelawak veteran seperti Datuk Jamali Shadat, Yahya Sulong, Hamid Gurkha atau pelakon-pelakon veteran menjadi juri? Paling tidakpun Astro boleh memanggil pengarah atau penerbit drama/filem yang berpengalaman luas dalam seni persembahan untuk mengadili rancangan realiti itu.

Tidakkah Astro terfikir bahawa yang menyertai MLM merupakan 'otai-otai' dalam industri lawak dan kekalahan disebabkan kesilapan yang sedikit itu boleh 'memalukan' mereka? Tambah-tambah apabila mereka dikritik oleh pihak yang mereka dakwa sebagai kurang faham atau kurang arif dengan 'seni' yang mereka persembahkan.

Bukan setakat Adlin, malah pelawak-pelawak lain seperti Radhi Khalid, Jalil Hamid, Yassin dan ramai lagi pastinya 'tercemar' maruah mereka. Penyertaan mereka semua bagi memeriahkan MLM bolehlah dianggap sebagai 'lilin yang membakar diri' lantaran gelanggang MLM yang hanya sekadar 'menang sorak kampung tergadai'!

Atau lebih tepatnya... Astro untung banyak, tapi pesertanya yang rugi hingga terpaksa 'bermasam' muka dan 'berperang' untuk mengembalikan maruah diri. Tak gitu?

No comments: