21 December 2011

MAMPUKAH CINTA DIANA & FARID BERTAHAN?


Apakah kesudahan episod cinta antara Farid Kamil dan Diana Danielle yang kini sudah hampir tiga tahun menjadi pasangan kekasih? Ini kerana, hubungan cinta mereka berdua sebelum ini pernah putus sebelum bertaut kembali sekitar bulan Mei lalu dan ianya disahkan sendiri oleh Diana melalui twitter.

Kesempatan bertemu dengan pasangan ini yang datang bersama dalam satu kenderaan ketika sidang media Hantu Gangster arahan Namewee, merungkai segalanya. Nampaknya, mereka berdua masih belum bersedia untuk mendirikan mahligai bahagia atas alasan tersendiri yang masih samar.





Malah lakonan mereka untuk tidak duduk bersama-sama bagi mengelakkan perhatian media bagai mencurah air ke daun keladi. Lakonan mereka juga terbawa-bawa ketika sesi bergambar beramai-ramai apabila Diana menolak untuk duduk bersebelahan dengan Farid, kononnya mahu mengelakkan gosip.

Dan jika duduk sebelah menyebelah sudah tidak mahu... apatah lagi jika diminta untuk bergambar berdua, sudah tentu ditolak mentah-mentah. Hairan bin ajaib, entah apa yang mahu disorokkan... sedangkan mereka memang mempunyai hubungan rapat yang 'sudah terang lagi bersuluh'.

Bagaimanapun bila diajukan soal kahwin... Farid dilihat seolah-olah masih mahu bermain teka-teki. Katanya, dia masih menunggu seru ke arah kebaikan itu dan hasilnya masih belum diketahui.

“Kami menunggu seru ke arah kebaikan. InsyaAllah, kita tunggu dan lihat saja. Ada juga perbincangan yang terperinci tentang perkara itu, tapi bila tarikhnya, tak diketahui lagi,” jawab Farid ringkas.

Jawapan yang sama turut diluahkan oleh Diana yang memberi alasan usianya masih muda dan masih perlu menimba ilmu. Tambahnya, dia masih belum bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri!



“Setakat ini hubungan kami berdua okay. Tidak dinafikan kami ada bercakap mengenai perkahwinan tetapi bercakap tak sama dan berbeza sekali dengan merealisasikannya.

"Lagipun, saya baru 20 tahun, untuk pikul tanggungjawab isteri itu, saya kena pastikan yang saya sudah betul-betul bersedia. Malah, salah satu sebab perkara ini agak lambat sikit sebab saya merancang untuk menyambung pelajaran dulu,” tegas Diana dipetik sebagai berkata.

No comments: