17 April 2012

BILA YUSRY & LISA JADI CIKGU


Lisa Surihani dan suaminya Yusry Abdul Halim mengakui kerjaya sebagai guru pada masa kini berdepan dengan pelbagai cabaran hebat. Malah ia tidak sama dengan cabaran yang dialami oleh Lisa ketika beliau menjadi seorang guru sandaran kira-kira sembilan tahun lepas.

Yusry dan Lisa berkata demikian ketika melaksanakan program 'Teach For Malaysia (TFM) Week' di mana mereka merupakan antara selebriti yang dipilih untuk memainkan peranan sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pendamaran Jaya berdekatan Pelabuhan Klang, Selangor, semalam.





"Pengalaman saya hari ini memang jelas membuktikan bahawa bukan senang untuk jadi seorang guru. Cabarannya bertambah mengikut peredaran masa terutamanya dari aspek menarik perhatian dan tumpuan pelajar.

"Saya mengalu-alukan rakyat Malaysia menyokong dan mengambil bahagian dalam program TFM ini," kata Lisa dipetik sebagai berkata kepada media.

Untuk info, Lisa dan Yusry masing-masing meluangkan masa selama sejam berada di dua buah kelas tingkatan satu. Di situ, Lisa mengajar subjek Geografi manakala Yusry mengajar subjek Bahasa Inggeris.



Selain mereka berdua, ada juga artis yang mengambil bahagian dalam program anjuran TFM yang bermula hari ini sehingga 20 April ini mewakili sektor perniagaan, kewangan, perkhidmatan awam, pendidikan dan hiburan.

Mereka dijadualkan mengajar di sekolah kawasan Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor, Petaling Perdana dan Hulu Langat di Selangor; Sentul dan Keramat di Kuala Lumpur; dan Tampin, Jelebu serta Kuala Pilah di Negeri Sembilan.

TFM adalah sebuah badan bebas bukan mencari keuntungan yang menyenaraikan bakal pemimpin masa depan Malaysia paling menyerlah dalam misinya untuk menghapuskan keadaan tidak saksama dalam bidang pendidikan.

Sejak Januari 2012, kohort pertamanya yang terdiri daripada 50 felo, menjadi pengajar di sekolah berkeperluan tinggi di Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan.

TFM sedang mencari 70 lagi felo untuk kohort barunya bagi 2013.


Sumber: BERNAMA

No comments: