30 April 2012

SEKITAR ANUGERAH BOH CAMERONIAN 2012 KE-9


PETALING JAYA: - Anugerah Seni BOH Cameronian 2012 yang ke-9 (9BCAA) bagi meraikan pencapaian tertinggi dalam industri seni persembahan melalui satu majlis gilang-gemilang bertemakan 1920-an Roaring Twenties telah diadakan di One World Hotel, Damansara Utama, di sini semalam. Ia diadakan bertujuan untuk memberi penghargaan kepada persembahan-persembahan tarian, muzik, teater muzikal dan teater yang dianjurkan pada tahun 2011.

Untuk info, 9BCAA telah dianjurkan oleh Kakiseni, satu-satunya platform seni persembahan yang telah bertapak selama 12 tahun dan ditaja oleh Teh BOH Cameronian, teh premium BOH Plantations. 9BCAA telah mengumumkan 26 pemenang yang dipilih oleh panel hakim bebas yang terdiri daripada para profesional yang berkecimpung dalam bidang tarian, muzik, muzikal teater dan teater.





Di samping itu, empat Anugerah Pilihan Penonton Kakiseni (Kakiseni Audience Choice Award) juga dipertandingkan dalam kategori tarian, muzik, teater muzikal dan teater. Pemenang dalam kategori-kategori tersebut dipilih oleh para peminat seni persembahan melalui undian online yang dijalankan sepanjang bulan April.

“Sudah tiba masanya untuk kami memberi pengiktirafan kepada bakat luas dalam industri seni persembahan sama ada dalam tarian, teater muzikal, lakunan atau nyanyian. BOH bangga untuk meneruskan peranan kami bukan saja dalam pengiktirafan dan penganugerahan bakat-bakat dalam komuniti seni persembahan tetapi juga untuk berkongsi ummph industri seni persembahan Malaysia dengan semua rakyat Malaysia.



"Setiap tahun, tahap bakat serta kualiti produksi kian meningkat dan ini amatlah membanggakan kerana ini dapat mencabar industri seni persembahan untuk bersaing untuk sentiasa berkembang dan untuk terus mengasah seni mereka. Tahniah diucapkan kepada para calon dan para pemenang tahun ini dan kami berharap untuk mendapat peluang yang lebih banyak untuk terpesona oleh anda semua dalam masa yang akan datang", ujar Caroline Russell, Ketua Pegawai Eksekutif BOH Plantations.

Pada malam anugerah tersebut juga, Y.Bhg. Dato’ Norliza Rofli, Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) telah menyampaikan Anugerah Patron of the Arts Award 2012 yang diperkenalkan buat julung kalinya untuk memberi pengiktirafan kepada organisasi yang telah menyumbang dengan cemerlangnya kepada pembangunan seni persembahan dengan impak sosial yang mendalam. Anugerah ini bertujuan menekankan kepentingan peranan sektor swasta dalam pembangunan industri seni dalam negara ini.



Turut hadir menyaksikan penyampaian anugerah tersebut adalah Y. Bhg. Dato' Dr. Irwan Siregar Abdullah, Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (TKSP) (Dasar), Bahagian Ekonomi dan Antarabangsa, Kementerian Kewangan serta Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek, Pengarah Komunikasi, Kandungan dan Infrastruktur dan Perkhidmatan Perniagaan NKEA, PEMANDU.

Antara pemenang pada malam anugerah tersebut ialah Awie, Stephanie Van Driessen, Rosnan Rahman, Harith Iskander dan ramai lagi.



No comments: