14 June 2012

MAIN POKER: GAMBIT PERTAHAN TINDAKAN


Meskipun ada pendakwah yang menyifatkan tindakan Gambit Saifullah Rosli, 27, bermain poker sebagai salah mengikut syariat Islam, namun pelakon Karipap-Karipap Cinta itu tetap mempertahankan tindakannya dengan berkata dia sekadar menimba pengetahuan.

Terdahulu, seorang pendakwah bebas memberitahu yang beliau tidak setuju dengan pendapat individu yang terlibat dengan judi semata-mata atas alasan untuk memahami permainan itu.

Klik untuk imej besar...




Katanya, daripada segi hukum, ia sudah pun dikira haram kerana di dalam Al-Quran ada menyebut Allah melarang umat Islam menghampiri perkara-perkara yang haram.

Beliau seterusnya memberi contoh, Allah berfirman jangan sesekali menghampiri zina iaitu seperti pergaulan bebas atau majlis tari menari. Sama juga dengan isu perjudian.



Tambah pendakwah itu, banyak lagi cara lain untuk mendapatkan pengetahuan. Meskipun matlamat Gambit baik... tapi caranya itu sebenarnya salah.

Untuk info, kontroversi ini timbul akibat tindakan Gambit yang bermain daun terup di Australia dengan alasan mahu mengasah minda psikologi melalui permainan tersebut.

"Saya menyertai permainan itu sebenarnya secara kebetulan sahaja dan menganggap ia satu permainan psikologi.

"Biarlah orang nak buat macam-macam tuduhan terhadap saya kerana saya bermain daun terup bukan kerana mahu mendapatkan duit, tetapi sekadar ingin menguji pengetahuan.

"Cakap pun tak guna, kerana orang akan tetap mengkritik. Asalkan saya dan Tuhan tahu niat sebenar, itu sudah cukup," katanya dipetik sebagai berkata.

Tambah Gambit, dia terkilan apabila kebanyakan pihak terlalu cepat membuat spekulasi dan membuat tuduhan yang tidak benar tanpa usul periksa.

"Saya seorang yang sangat sayangkan Malaysia, bangsa dan agama, tetapi kenapa kebanyakan masyarakat kita mempunyai mentaliti iaitu terlalu cepat menilai keburukan seseorang individu itu?

"Diakui, salah saya juga meletakkan entri yang boleh menimbulkan persoalan kepada semua tetapi dengan menyebarkan maklumat dan membuat spekulasi sendiri, tidakkah ia berbau fitnah? Dan bukankah fitnah itu haram?

"Sebelum mengata tentang orang, cerminlah diri sendiri," ujarnya seolah memulang paku buah keras.

BERITA TERDAHULU:
BILA GAMBIT SAIFULLAH MAIN POKER

No comments: