19 July 2012

AIM19 BAKAL LAKUKAN PEMBAHARUAN


Rumah siap pahat berbunyi!

Demikianlah ibaratnya apa yang berlaku di dalam pengendalian Anugerah Industri Muzik (AIM) yang memaksa penganjur menukar strategi. Semuanya dilakukan agar tiada lagi rungutan atau Ketidakpercayaan karyawan seni berhubung proses penghakiman bagi AIM ke 19 (AIM19) yang bakal diadakan tahun ini.





“Pada tahun ini hanya individu terpilih dan pengamal industri muzik akan diberi tanggung jawab untuk menjadi hakim kerana ia adalah tuntutan penggiat seni sendiri berbanding proses yang dilakukan pada AIM lalu,” kata Pengerusi Bersama, Jawatankuasa Penganjur AIM19, Rosmin Hashim dipetik sebagai berkata kepada pemberita dalam sidang media pengumuman kategori pencalonan dan syarat kelayakan AIM19 di Hotel Millennium, Kuala Lumpur, semalam.

Tambahnya, beberapa individu yang terdiri daripada komposer, penulis lirik, penerbit album dan orang perseorangan yang berkemahiran dalam muzik akan dipilih bagi menilai karya-karya muzik dalam AIM pada tahun ini.

"Ia berbeza pada proses sebelum ini apabila jemaah juri terdiri daripada mereka yang dilihat tidak mempunyai kemahiran khusus dalam bidang tersebut seperti pihak media, wakil stesen radio dan televisyen serta individu daripada syarikat-syarikat rakaman.

"Perubahan ini terpaksa dilakukan selepas pihak AIM mendapat banyak rungutan daripada pelbagai pihak khususnya para artis dalam sesi dialog yang telah diadakan sebelum ini.

“Kami menghormati pandangan semua pihak dan mengambil keputusan untuk membuat perubahan terhadap sistem penghakiman pada tahun ini yang terdiri daripada pengamal dalam industri rakaman,” tambahnya.

Bagaimanapun, Rosmin menyangkal dakwaan bahawa keputusan tersebut sebagai berat sebelah kerana konflik kepentingan. Jelas Rosmin, ia terpaksa dilakukan demi memastikan karya-karya yang diterima tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan juri yang dilantik.

Terdahulu, untuk pencalonan AIM19 pada tahun ini, ia turut terbuka kepada lagu-lagu atau album dalam bahasa Melayu dan Inggeris. Syaratnya, ia harus yang dikeluarkan di negara ini bermula 1 Julai 2011 hingga 30 Jun 2012 dan semua karyawan yang berhasrat mencalonkan karya hendaklah menghantar pencalonan mereka sehingga 15 Ogos depan.

Dalam pada itu, AIM19 mengekalkan 19 kategori anugerah disamping mengadakan dua anugerah AIM berasingan bagi mengiktiraf pencapaian muzik dalam bahasa Cina dan India yang akan diadakan pada pertengahan tahun hadapan.

“Kami berharap kalau ada lagu-lagu Kelantan, Sabah atau Sarawak, mereka boleh menghantar penyertaan mereka untuk diadili,” katanya.

Untuk info, Kemuncak AIM19 bakal membuka tirai pada 17 November 2012 di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor. Anugerah tersebut akan turut disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria.


Senarai 19 kategori pencalonan AIM19

1. Artis Baru Terbaik

2. Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki)

3. Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita)

4. Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik Di Dalam Lagu

5. Kulit Album Terbaik

6. Rakaman Album Terbaik

7. Video Muzik Terbaik

8. Lagu Pop Etnik Terbaik

9. Lagu Nasyid Terbaik

10. Lagu Rock Terbaik

11. Lagu Pop Terbaik

12. Lagu Hip Hop Terbaik

13. Lagu Inggeris Tempatan Terbaik

14. Lagu Bahasa Melayu Terbaik Yang Dipersembahkan Oleh Artis Luar Negara

15. Anugerah Kembara

16. Anugerah Sri Wirama

17. Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu

18. Lagu Terbaik

19. Album Terbaik


No comments: