04 July 2012

KECUH BILA MAEL LAMBONG KUTIP RM5 JUTA


Dengan kutipan yang kian mencecah RM5 juta, pengarah dan penerbit Ahmad Idham Ahmad Nadzri kini menjadi mangsa segelintir pihak yang iri hati terhadap pencapaiannya. Malah terdapat juga beberapa pihak yang tidak memahami kenyataannya berhubung kutipan filem Mael Lambong sebagai satu fenomena di sebuah akhbar bertindak memperkecilkannya.

“Saya tidak berniat untuk menunjuk-nunjuk atau bercakap kosong apabila mengeluarkan kenyataan kutipan filem saya adalah satu fenomena di akhbar tersebut.





“Ia bagi meyakinkan peminat filem Melayu bahawa industri kita masih mampu mencapai kutipan yang baik pada waktu ini seperti filem saya dan Syamsul Yusof iaitu Bohsia 2, di kala majoriti filem Melayu lain kurang berjaya.

“Pihak yang memperlekehkan kenyataan saya itu tidak faham tujuan saya berkata demikian atau mungkin mereka kurang senang dengan saya secara peribadi,” ujar Ahmad Idham dipetik sebagai berkata kepada media.



“Itu yang pihak tertentu tidak faham dengan apa yang saya maksudkan pada istilah ‘fenomena’. Jangan bandingkan kutipan pecah panggung filem-filem yang ditayangkan pada tahun lepas dengan tahun ini. Ketika itu, filem-filem kurang persaingan di bawah skim tayangan lama.

“Kita bercakap mengenai konteks kutipan filem dalam era skim tayangan baru ini. Jika diperhatikan sejak 24 Mei lalu apabila dua filem ditayangkan seminggu, majoriti filem kita gagal meraih kutipan yang baik. Sebab itu, saya sifatkan dua filem ini sebagai ‘fenomena’ dan penyuntik semangat kepada industri yang sedang tenat ini,” tambahnya seolah 'memulangkan paku buah keras'.



Untuk makluman semua, kereta drift merah berjenama TOYOTA SOARER E MZ II dengan kapasiti enjin setinggi 2500 cc yang digunakan dalam filem Mael Lambong akan dilelong kepada mereka yang berminat. Difahamkan, harga awal bidaan ialah RM5,000 dan ia kemungkinan mencecah puluhan ribu sekiranya terdapat ramai pihak yang membidanya.

“Ini merupakan satu penghargaan kepada peminat-peminat Mael Lambong di seluruh negara, kerana harga yang ditawarkan dengan spesifikasi seperti ini lebih murah dari harga pasaran,” ujar Ahmad Idham bersungguh.



No comments: