29 January 2013

KRU MUNCUL LAGI DENGAN KRUNOMENA


Kuala Lumpur – Tidak perlu diperkenalkan lagi, nama kumpulan ini memang sudah cukup gah dan merupakan salah sebuah kumpulan penyanyi yang paling berjaya di negara ini. Sepanjang penglibatan mereka di dalam dunia hiburan tempatan selama 21 tahun, mereka telah menghasilkan 13 buah album.

KRU, sebuah kumpulan pop dan R&B yang dianggotai tiga adik-beradik yang berbakat (Norman, Yusry dan Edry) mungkin telah lama bersara dari persembahan pentas namun tetap aktif merakamkan “single”. Kini mereka muncul dengan album baru untuk menghargai peminat-peminat yang tidak pernah jemu menyokong kegiatan seni mereka selama ini.

Klik untuk imej besar...



Ia adalah album yang dinanti-nantikan kerana kali terakhir mereka muncul dengan album adalah pada tahun 2006 dengan 10 Di Skala Richter. Menariknya, album baru mereka yang diberi nama KRUnomena merupakan album pertama mereka di bawah label muzik mereka sendiri, KRU Music (Sebelum ini, mereka dibawah naungan EMI.)

KRUnomena memuatkan 10 lagu kesemuanya, seperti Setiap, Semalam Tanpamu, Kesejatian Cinta, Separuh Mati, Sediakala, Lagu & Lirik dan Kali Ke-2. Tiga lagu popular yang turut dimuatkan di dalam album ini adalah Ganas (2011), Tiga Kata (2012) dan Wanita (2012).



Bagi adik beradik ini, KRUnomena adalah album yg begitu istimewa kerana koleksi lagu-lagunya mencerminkan kematangan mereka dari segi muzik dan lirik.

"Selama ini, saya telah banyak mencipta lagu untuk artis-artis lain. Ada beberapa lagu ciptaan saya yang saya rasa terlalu peribadi dan bermakna untuk diberikan kepada orang lain," kata Edry, yang bertanggungjawab menghasilkan sembilan dari 10 lagu yang terdapat di dalam album KRUnomena, kecuali Kali Ke-2 (digubah oleh Norman). Kali Ke-2 merupakan remake kepada lagu popular KRU berjudul 2.



KRU mempertaruhkan Semalam Tanpamu sebagai single pertama mereka, menampilkan Stacy dengan vokalnya yang mantap. Single tersebut akan mula dimainkan di radio tidak lama lagi. Di harap, Semalam Tanpamu akan mendapat sambutan yang baik daripada pendengar muzik tempatan.

Pembikinan muzik video single ini pula dijadualkan pada Feb 16 dan ia akan diarahkan oleh Waan Hafiz. Single dan muzik video ini akan dilancarkan secara rasmi pada bulan hadapan.

Sementara itu, Norman berkata bahawa album KRUnomena akan dipasarkan secara fizikal dan digital di iTunes, YouTube dan Ring Back Tone di semua syarikat telekomunikasi pada 31 Januari 2013. Peminat juga boleh membeli album melalui United Studios Facebook (untuk ditandatangani dan dengan mesej peribadi). Album KRUnomena dijual dengan harga RM29.90.

No comments: