29 March 2013

MOJO UKIR NAMA DI PERINGKAT ANTARABANGSA


Akhirnya kumpulan MOJO menempa nama dalam pasaran muzik Asia melalui pencapaian terbaik mereka di edisi ketiga Hong Kong Asian-Pop Music Festival (HKAMF 2013) baru-baru ini. Tema bagi festival tahun ketiga majlis tersebut ialah 'Muzik dalam Satu Asia'.

MOJO yang terdiri daripada empat pemuzik berpengalaman dengan Aweera sebagai vokal utama, Edry sebagai pemain synthesizer, Deny sebagai pemain gitar dan Johar sebagai pemain dram telah memenangi anugerah Persembahan Vokal Terbaik HKAMF melalui persembahan lagu hit mereka, "Andai KuBercinta Lagi ".   

Klik untuk imej besar...



Antara peserta tahun ini adalah MIC dari Tanah Besar China, Sita Chan dari Hong Kong, Henry Tseng dari Taiwan, BREATHE dari Jepun, Andamiro dari Korea, MICappella dari Singapura dan MOJO dari Malaysia.

Untuk info, MOJO yang bernaung di bawah KRU Muzik telah dicalonkan oleh Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) untuk bersaing di HKAMF 2913 berdasarkan kemenangan mereka dalam kategori Artis Baru Terbaik Anugerah Industri Muzik (AIM 19). Antara peserta dari Malaysia yang pernah dihantar ke Hong Kong sebelum ini ialah Bunkface (2011) dan Projek Pistol (2012).

"Kami ingin mengucapkan tahniah kepada MOJO di atas kemenangan terbaru mereka dan pencapaian antarabangsa yang sangat penting di Hong Kong ini. RIM telah mencalonkan artis-artis tempatan untuk mengambil bahagian dalam acara-acara antarabangsa di luar negara sebagai sebahagian daripada inisiatif pembangunan industri muzik secara keseluruhannya.



"Kami amat gembira apabila bakat Malaysia berjaya di luar negara dan mampu untuk mempamerkan jenama muzik mereka di arena antarabangsa. RIM, sebagai salah satu organisasi utama industri muzik di Malaysia akan terus menyokong artis tempatan dengan menghantar lebih banyak artis dan bakat-bakat tempatan ke festival muzik luar negara," kata Ramani Ramalingam, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif RIM.



"Mojo ingin mengucapkan terima kasih kepada RIM di atas peluang yang diberikan kepada kami untuk menyerlahkan muzik dan bakat kami di luar negara. Terima kasih juga kepada pihak dari seluruh Asia seperti Hong Kong, China, Jepun, Korea, Taiwan dan Singapura kerana dapat menerima muzik kami. Kami amat gembira meskipun menyanyikan Melayu, namun ia dapat diterima dengan baik dan dihargai oleh hakim dan penonton antarabangsa," ujar salah seorang anggota kumpulan itu.

No comments: